13 November 2017

PERNIKAHAN DENGAN RAPIDAH - JALALUDDIN DEDAH MULANYA DIHALANG


"Alhmadulillah anak-anak memang tidak menghalang saya berkahwin malah mereka rasa berdosa kerana tidak dapat jaga saya dengan baik sebelum arwah isteri meninggal," kata pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan, 63, mengenai pandangan anak-anak berhubung keputusan kahwinnya itu.





Namun begitu, Datuk Jalaluddin mendedahkan bahawa keputusannya memperisterikan Rapidah Abd. Ghani, 44, pada awalnya mendapat tentangan daripada ibu mertuanya iaitu Esah Samad, 77, gara-gara beliau adalah seorang artis.

"Bagaimanapun ibu mertua kurang bersetuju, maklumlah artiskan, girlfriend banyak... hahaha!" akui Datuk Jalaluddin.

Bagaimanapun katanya, beliau akhirnya berjaya menyakinkan wanita itu dengan bantuan pengarah dan aktivis teater iaitu Lokman Ghani yang juga abang kepada Rapidah.

Klik untuk gambar besar


"Namun ibunya terbuka hati menerima saya selepas diyakinkan oleh Lokman yang juga rakan baik saya dan kami pun banyak mengharungi pelbagai cabaran sebelum ini," jelasnya.

Semalam di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Jalaluddin dan Rapidah yang merupakan ibu tunggal empat orang anak itu sah bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz.

Pada masa sama, Jalaluddin berkata, dia tertarik dengan Rapidah kerana wanita itu mengingatkan dirinya kepada Allahyarham isterinya, Hashimah Mad Ehsan yang meninggal dunia pada 5 November tahun lalu.

"Kami kali pertama bertemu ketika menghadiri rumah terbuka Lokman pada Aidifitri yang lalu dan apabila melihatnya melayan tetamu dan pergerakannya ia mengingatkan saya kepada arwah isteri.



"Kami sempat bergambar bersama dan saya berikan nombor telefon saya kepadanya kerana ingin meminta dia menghantar gambar yang diambil kepada saya.

"Selepas itu barulah kami mula berkenalan dan seterusnya Alhamdulillah dipertemukan jodoh," ujarnya yang akan mengerjakan umrah pada Februari tahun hadapan bersama isterinya.

Dalam pada itu, Rapidah pula memberitahu dia tidak pernah menyangka akan bersuamikan Datuk Jalaluddin malah mengambil masa apabila pelakon itu melamar dirinya.

Kata Rapidah, dia terbuka hati apabila melihat sikap suaminya itu yang disifatkan sebagai seorang yang bertanggungjawab dan penyayang terhadap anak-anak dan cucu-cucunya.



"Pada awalnya memang tiada niat hendak berkahwin pun tetapi apabila dah berkenalan saya lihat beliau seorang yang penyayang dan bertanggungjawab.

"Anak-anak saya pun semua bersetuju saya berkahwin kerana kata mereka solat saya tidak banyak pahala berbanding solat bersama suami lebih banyak ganjaran," tuturnya.

Sementara itu, mengenai reaksinya yang tiba-tiba sebak ketika membacakan taklik selepas akad nikah, Jalaluddin memberitahu yang dia sedar tanggungjawab sebagai suami adalah besar dan ingin memberikan yang terbaik kepada Rapidah selain terkenangkan arwah isterinya.

"Saya sedar tanggungjawab saya berat dan itu membuatkan saya sebak namun saya bersyukur kerana sepanjang 40 tahun perkahwinan dengan arwah isteri saya sudah melatih diri tentang erti kesetiaan dan tanggungjawab.



"Saya berhenti membaca taklik itu kerana janji itu adalah pada arwah tetapi sekarang janji itu beralih kepada Rapidah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jalaluddin berkata, dia merancang untuk membawa isterinya berbulan madu ke Russia pada Disember ini namun Rapidah menolak perancangan itu.

Sebaliknya kata Jalaluddin, isterinya itu ingin menghabiskan masa mengenali anak-anak dan cucu-cucunya dalam mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

"Katanya inilah masa dia ingin mengenali anak-anak saya dan cucu-cucu tambahan pula musim cuti sekolah pun bakal bermula," ujarnya.






www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: