18 December 2017

GV4: 'TITISAN' BAWA AISHAH JUARA, PEROLEH RM100K


Sememangnya rezeki bergelar juara Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4) berpihak kepada penyanyi Aishah apabila membuat persembahan yang menyentuh hati semua orang.





Titisan air mata salah seorang juri selepas Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 52, menyampaikan lagu 'All By Myself' nyanyian asal Celine Dion bagaikan bayangan bahawa kejuaraan GV4 adalah miliknya.

Hetty Koes Endang ketika memberi komen sewaktu persembahan solo Aishah terpegun dengan kehebatan penyanyi itu menjiwai lagu yang disampaikan.

Dalam pentas itu juga, Aishah turut menyampaikan lagu 'Supergirls' duet bersama Liza Hanim menerusi pusingan battle.

Klik untuk gambar besar


Persembahan mantap dan mempersonakan daripada Aishah pada pentas akhir melayakkan beliau memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 sumbangan Astro dan penaja iaitu Qu Puteh serta trofi.

Penyanyi lagu 'Janji Manismu' itu turut menerima sebidang lot tanah banglo sumbangan Bina Megan Empire, pakej percutian ke Eropah Timur sumbangan selamatbercuti.com, barangan kemas sumbangan DSV Gold and Jewelry serta baucer membeli belah Go Shop bernilai RM5,000.

"Terima kasih kepada Astro, juri, peminat dan semua yang menyokong saya selama ini," ujar Aishah.

Sementara itu, naib juara telah diduduki oleh Liza Hanim yang menerima wang tunai RM50,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Turki, barangan kemas dan baucer membeli belah Go Shop bernilai RM5,000.



Manakala, Lan Solo pula berada pada tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, sebidang lot tanah banglo, percutian ke Boracay, barangan kemas dan baucer sumbangan Go Shop berjumlah RM4,000.

Tempat keempat yang menerima wang tunai RM20,000, pakej percutian ke Jogjakarta, barangan kemas dan baucer membeli belah Go Shop sebanyak RM3,000 itu diperoleh Hazami.

Firman pula berada pada tempat kelima yang mendapat wang tunai RM15,000, barangan kemas dan baucer membeli belah Go Shop berjumlah RM2,000.

Akhirnya sekali, Tia yang menduduki tempat keenam menerima wang tunai sebanyak RM10,000, barangan kemas dan baucer sumbangan Go Shop berjumlah RM1,000.




www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: