04 January 2018
ISU DITIPU WANITA: "TAK TERAGAK-AGAK SEBARKAN IDENTITI" - DEN WAHAB
Baru baru ini, pelakon Den Wahab dan pengarah Aziz M. Osman serta keluarga mereka terkandas di Korea Selatan selepas mereka mendakwa ditipu wanita yang menyamar sebagai wakil sebuah agensi pelancongan.
Den bersama Aziz serta enam lagi mangsa, membuat laporan berhubung penipuan yang didakwa dilakukan wanita berkenaan.
Difahamkan, kira-kira 20 mangsa membuat laporan yang sama terhadap wanita terbabit, di balai polis lain.
Mereka juga turut mahu individu terbabit memulangkan wang berjumlah RM90,000 atau identitinya didedahkan.
Kata Den atau nama sebenarnya, Zaharuddin Abdul Wahab, beliau memberi tempoh seminggu kepada wanita terbabit untuk memulangkan wang mereka.
Klik untuk gambar besar
"Kami beri masa seminggu kepada wanita itu. Jika dia enggan berbuat demikian, kami tidak teragak-agak menyebarkan identitinya.
"Segala maklumat mengenai dia, ada dalam tangan kami," jelasnya kepada media selepas membuat laporan polis terhadap wanita terbabit di Balai Polis Mutiara Damansara, petang semalam.
Den dan Aziz yang diiringi 22 anggota keluarga mendakwa kerugian kira-kira RM90,000 selepas ditipu seorang wanita yang mengaku mempunyai agensi pelancongan dan menawarkan pakej melawat Korea Selatan selama lima hari empat malam.
Namun, pada hari ketiga rombongan berada di Korea Selatan, Den dan Aziz mendakwa mereka diminta mengosongkan bilik penginapan selepas agensi pelancongan, Arba Travel & Tours tidak menerima bayaran daripada individu terbabit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Arba Travel & Tours, Ammar Shahrin, berkata atas dasar belas kasihan terhadap keluarga Den dan Aziz, pihaknya mengeluarkan kos sebanyak RM50,000 membawa mereka pulang ke tanah air.
"Kami terpaksa menampung kos keseluruhan rombongan itu sehinggalah mereka pulang, Khamis lalu. Sebagai agensi pelancongan berlesen, kami perlu menjaga nama baik.
"Kami mahu menegaskan, ini kali pertama syarikat berurusan dengan individu terbabit. Kami tidak pernah melantik dia sebagai wakil agensi," tuturnya.
Kata Ammar, pihaknya turut membuat laporan polis supaya wanita terbabit tidak melarikan diri.
"Selepas perkara ini dihebahkan media, dia ada menghantar mesej melalui WhatsApp. Dia mengugut kami supaya tidak membuat laporan polis atau wang tidak diserahkan.
"Tetapi, kami tetap buat laporan dan mahu dia segera pulangkan wang itu. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera agar dia tidak menipu orang lain," katanya.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment