27 January 2018
TUNAI UMRAH LAGI - ZAITON SAMEON BERHARAP INGATANNYA PULIH
"Tidak sabar rasanya hendak menjejakkan kaki ke Tanah Suci kerana saya ingin berdoa di hadapan Kaabah untuk memohon kepada Allah agar ingatan saya pulih sepenuhnya," kata penyanyi Zaiton Sameon yang diberi peluang menunaikan umrah bersama 22 penggiat seni lain.
Penyanyi yang berusia 61 tahun itu berharap mendapat peluang untuk berdoa di hadapan Kaabah agar ingatannya yang terganggu akibat kemalangan ngeri sekitar 28 tahun lalu pulih sepenuhnya ketika mengerjakan ibadah Umrah bermula 26 hingga 6 Februari ini.
Zaiton yang popular menerusi lagu 'Menaruh Harapan' berkata, beliau ingin berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah agar doanya itu dimakbulkan selain diberikan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki.
"Harap-harap hasrat saya itu termakbul selain ingin berdoa agar diberikan kesihatan dan dimurahkan rezeki. Doa saya juga untuk semua rakyat Malaysia dan negara kita agar sentiasa aman dan damai," tuturnya
Selain Zaiton, antara 22 selebriti veteran yang turut terpilih untuk mengerjakan umrah termasuklah Ibnor Riza, Hamid Gurkha, Sulaiman Yassin (Mat Over), Harun Hashim, Mat London, Sahara Yaacob, Shima, Aida Agil, Zaleha Hamid, Ayati Tasrip dan Halil Chik.
Klik untuk gambar besar
Program itu adalah anjuran bersama Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Mustika Kasih dan Yayasan Perdana Ummah.
Dalam pada itu, Zaiton berkata, walaupun ini bukan kali pertama dia menjejakkan kaki ke Makkah namun tetap berasa teruja kerana memang memasang niat untuk kembali ke sana.
Kata Zaiton lagi, pemilihannya untuk menyertai rombongan itu disifatkan sebagai rezeki yang telah lama diimpikannya.
"Saya pertama kali ke Makkah sekitar tahun 1995 dan sejak itu perasaan rindu terhadap Makkah sentiasa ada cuma tiada peluang untuk ke sana.
"Alhamdulillah selepas 23 tahun akhirnya doa saya untuk kembali melawat rumah Allah akhirnya tercapai," ujarnya.
Pada 21 Februari 1990, Zaiton ditimpa kemalangan negeri di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Batang Kali ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Ketil, Kedah menuju ke ibu negara selepas mengadakan persembahan.
Akibat kemalangan itu, Zaiton mengalami kecederaan teruk pada leher dan kaki selain terlantar koma selama enam bulan.
Anak lelaki tunggalnya yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia selain pemuzik iringannya, Ismail Shaari turut terkorban dalam kemalangan itu.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment