20 February 2018

CINCIN PULANG: KAMI REDHA & TERUSKAN TANPA BERMUSUH' - BAPA ELFIRA


"Saya tak anggap hanya satu keluarga saja yang menanggung malu dan sedih. Sebaliknya, kedua-dua keluarga. Sebagai orang Islam dan Melayu kita menerima ketentuan qada dan qadar ini...





"Kita merancang, Tuhan tentukan," kata bapa pelakon Elfira Loy, Ahmad Sabri Ariffin yang mengakui selepas segala dirancang tidak menjadi, keluarga kedua-dua pihak terluka dan menanggung malu.

Bapa Elfira turut mengesahkan yang mereka sekeluarga sudah memulangkan cincin pertunangan mengikut adat dalam satu sesi pertemuan di kediaman keluarga Sufian petang kelmarin.

"Kami sekeluarga sudah membuat keputusan memutuskan tali pertunangan antara Elfira dan Sufian. Kami anggap antara anak saya dan dia (Sufian) tiada jodoh.

"Apa juga alasan atau sebab musabab lain itu tak perlulah ditulis kerana ia akan menyakitkan hati dan menyinggung perasaan orang lain. Biarlah ia tersimpan erat dan hanya keluarga masing-masing saja tahu.

Klik untuk gambar besar


Tambah bapa Elfira lagi, usaha untuk memulangkan cincin tersebut sudah cuba untuk dilakukan sebelum Elfira mengerjakan umrah, namun ada saja halangan.

Katanya, beliau ditemani lapan ahli keluarga dan sanak-saudara bertemu bapa dan bapa saudara Sufian di rumah keluarga Sufian, kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, penyanyi yang popular menerusi lagu 'Terakhir' itu tidak berada di rumah ketika majlis pemulangan cincin tunang itu berlangsung.

"Proses penyerahan cincin berlangsung dengan adat Melayu tanpa ada syarat tambahan seperti majlis tunang Oktober lalu.



"Baik keluarga saya dan keluarga Sufian menerima keputusan itu dengan terbuka. Kami masing-masing reda dengan apa yang sudah tertulis dan sepakat meneruskan hubungan baik tanpa perlu bermusuh," katanya.

Selain itu, bapa Elfira juga menyatakan bahawa tidak perlu ada lagi kenyataan daripada pihak Elfira dan Sufian atau pun sidang media bagi menjaga perasaan kedua-dua belah pihak.

"Malah, lebih baik dan afdal selepas ini kita tutup saja hal ini tanpa perlu ada lagi kenyataan daripada pihak Elfira dan Sufian termasuk sidang media yang boleh menyinggung perasaan.

"Saya ada menghantar mesej kepada Elfira sekembalinya dia dari New York, Amerika Syarikat (AS), malam tadi. Saya harap dia kuat dengan dugaan ini.



"Saya harus puji Sufian kerana mesej yang dihantarnya, semalam cukup bagus. Dia beritahu keluarganya sudah maklumkan hal penyerahan cincin. Dia juga minta maaf atas khilaf diri selain meminta halalkan makan dan minum," tuturnya.

Sebelum ini, ibu Elfira, Filzah Yusoff mengesahkan anaknya yang bertunang dengan Sufian pada 6 Oktober tahun lalu itu sudah putus. Jika mengikut perancangan awal, mereka bakal disatukan, awal bulan Mac depan.

Nampaknya segala kontroversi mengenai kisah putus tunang Elfira Loy dan Sufian Suhaimi bertemu noktahnya apabila sudah memulangkan cincin pertunangan.

Kami harap Elfira dan Sufian tabah menghadapi dugaan ini. Bukan mudah untuk melepaskan orang tersayang pergi apatah lagi jika pernah membina impian untuk hidup bersama selamanya. Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: