28 February 2018

TUNGGU MASA BEDAH - ISTERI LAN BERSYUKUR SUMBING TAK SERIUS


Bagi memudahkan urusan pembedahan untuk mencantumkan semula bibir yang sumbing, isteri kepada vokalis Lan Solo iaitu Nur Sheila Hassim, 33, memberitahu dia kini sedang berusaha menaikkan berat anak keempatnya, Amna Quxandra.





Sheila berkata anak perempuannya itu tidak mengalami masalah sumbing yang serius. Doktor memaklumkan, bayi itu boleh menjalani pembedahan apabila beratnya sudah mencapai lima kilogram.

"Doktor kata, berat yang selamat untuk menjalani pembedahan adalah apabila beratnya sudah mencapai lima kilogram.

"Saya bersyukur kerana keadaan Xandra tidak berapa serius di mana sumbing tersebut hanya berukuran 0.5cm sahaja dan melibatkan bahagian bibir. Manakala gusi dan lelangitnya tidak terlibat sama," jelasnya.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Sheila berkata yang dia bersyukur kerana banyak pihak memberikan sokongan kepada mereka sekeluarga selepas mengetahui keadaan anaknya itu.

"Alhamdulillah ramai yang memberi kata-kata semangat, ada juga yang sharing pengalaman mereka dan bila diukur balik dengan nasib orang lain, saya kira lebih bertuah kerana Lan masih berada di sisi saya dan keluarga juga sangat menyokong," katanya

Menurut Sheila, Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, juga tidak menghalangnya berkongsi perihal anak-anak di laman sosial.



"Instagram Lan lebih kepada perkembangan seninya, manakala Instagram saya pula, saya kongsikan apa sahaja yang terlintas di kepala.

"Kami dapat tahu anak menghadapi masalah sumbing ketika usia kandungan 27 minggu. Pada usia kandungan 30 minggu barulah saya berkongsi hal itu di laman sosial.

"Niat saya bukan untuk meraih simpati, tetapi saya mahu berkongsi cerita dan mendapat pendapat dari orang lain," tuturnya.

Lan dan Sheila yang mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2009. Selain Xandra, mereka mempunyai tiga lagi cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, dan Nur Amna Qeesyara, 6 dan Muhammad Akid Qassyaff, 4 tahun.


www.myartis.com / Sumber: Sinar Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: