19 April 2018
SENTUH, CIUM ANAK: "TAK KISAH, TAPI JANGAN BERLEBIHAN" - DAZRIN
Semua sedia maklum mengenai pelakon Amar Baharin dan isterinya, Amyra Rosli yang melarang anak mereka disentuh dan dicium.
Namun tidak bagi aktor Dazrin Kamarudin yang merelakan bayi sulung yang baru dilahirkan pada 13 April lalu dibuat sedemikian.
Dazrin, 30, berkata dia hanya akan menegur dengan cara yang baik jika individu tersebut melakukan perbuatan itu secara berlebih-lebihan.
"Kalau tak nak bagi orang sentuh atau dicium anak kita, kena tegur baik-baik. Tak semestinya ditangani dengan kemarahan. Takut nanti datang kebencian pula.
Klik untuk gambar besar
"Saya tak kisah jika ada yang nak peluk, pegang atau cium anak saya. Sebab sememangnya lumrah manusia gerak hati melihat bayi rasa nak disayangi.
"Tapi janganlah sampai berlebih-lebihan. Saya rasa semua orang akan faham kalau kurang sihat memang tidak elok pegang atau dekat dengan bayi," kata Dazrin yang akan mendedahkan wajah penuh anaknya itu selepas 40 hari.
Tambah Dazrin, memang benar perbuatan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan bayi jika orang yang mencium itu mempunyai penyakit.
Namun, sebagai ibu-bapa, seseorang itu perlu tahu bagaimana untuk mengawal atau hadkan pendedahan bayi mereka kepada umum.
"Memang betul perkara itu berbahaya untuk kesihatan bayi. Lagi-lagi bayi yang baru sahaja lahir. Kalau tak nak bayi kita kena pegang dan cium, hadkan pendedahan kepada umum. Macam kalau kita tak nak orang ambil gambar, jangan keluar rumah," ujarnya.
Sebelum ini, Amar pernah meluahkan pandangan mengenai sikap segelintir pihak yang gemar menyentuh dan mencium bayi bukan milik mereka.
Menurut Amar, dia menegur perkara tersebut kerana ingin memberi kesedaran bahawa perbuatan itu adalah berbahaya kepada kesihatan bayi.
Dalam pada itu, pelakon drama 'My Darling, Inspektor Daniel' ini teruja dapat menyambut sendiri kelahiran anak sulungnya yang merupakan lelaki.
"Saya sangat teruja nak sambut kelahiran anak tapi dalam masa yang sama takut juga. Sebab ada rakan-rakan kata bila tengok darah boleh buat kita pitam.
"Tapi sebab semangat nak menyambut bayi itu lebih kuat berbanding takut. Alhamdulillah, saya sendiri yang memotong tali pusat," tuturnya.
Isteri Dazrin iaitu Nur Fazulin Razali selamat melahirkan bayi lelaki mereka bernama Dasuki pada 13 April lalu di Hospital Andorra Women & Children.
Untuk maklumna, Dazrin dan Zulin berkahwin pada 6 Mei tahun lalu di Hotel Avillion Legacy, Melaka.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment