13 April 2018

TAMPUNG KOS RAWATAN - YAZID AHMAD MASIH BERMAIN DRAM


"Persatuan hanya boleh tolong sekali, lepas tu masuk dua dan tiga kali mereka juga tiada duit," kata pemain dram popular, Yazid Ahmad yang masih aktif bekerja untuk mencari duit demi menampung kos rawatan sebanyak RM3,000 sebulan.





Jelasnya, dia tidak boleh hanya bergantung pada orang lain termasuk persatuan hiburan untuk membantunya.

Bekas anggota Search ini masih kelihatan gagah untuk berjalan dan berselera makan meskipun masih meneruskan rawatan dialisis pada setiap minggu.

"Banyak kos diperlukan untuk dialisis, ubat dan vitamin. Kadang-kadang masuk hospital apabila kurang vitamin," ujarnya.

Bagi memastikan kesihatan bertambah baik, dia perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di hospital swasta.

"Rawatan di Hospital Kuala Lumpur hanya pada peringkat awal. Selepas itu mereka 'tolak' saya suruh cari sendiri, mereka tak boleh tanggung sebab ramai lagi pesakit yang datang.

"Mereka hanya ada 20 mesin jadi ramai pesakit lain yang menunggu. Mereka bagi surat untuk pergi cari sendiri seperti ke hospital swasta," jelasnya.

Klik untuk gambar besar


Tambahnya, dia ada berusaha mendapatkan bantuan daripada pihak lain seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tetapi mengakui jumlah yang diterima masih belum mencukupi untuk menampung kos rawatan bulanannya.

Yazid yang sudah menjalani rawatan dialisis sejak 10 tahun lalu menyatakan keadaan dirinya kini bertambah baik.

"Sekarang fikir nak cari duit saja dengan kudrat yang ada, hanya muzik yang mampu saya buat," tuturnya.

Jelasnya, dia terpaksa terus bermain dram dengan kumpulan muzik artis lain termasuk mengadakan klinik dram dan menghadirkan diri dalam program bual bicara untuk mendapatkan duit.

Pemuzik berusia 56 tahun ini juga berpandangan industri muzik tempatan ketika ini semakin 'mati'.

"Kita nak salahkan sesiapa pun tak tau. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga membantu menerusi program mereka sekurangnya membantu artis seperti saya bak kata pepatah tak dapat isi, dapat kuah pun jadilah," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: