15 May 2018

IBU SAHKAN PUTERI BALQIS ADA MASALAH JANTUNG


"Kami perasan Aqish cepat letih dan demam berulang kali dalam tempoh panjang. Kami syak Aqish diserang denggi tetapi ujian darah tidak menunjukkan begitu.





"Sejak awal tahun lagi, hospital sudah menjadi rumah kedua kami. Ini kerana Aqish perlu menjalani ujian dan pemeriksaan bagi mengesan sakitnya. Lebih teruk apabila dia pengsan dan muntah darah hampir setiap hari.

"Sebagai ibu, sudah tentu luluh hati saya melihat keadaannya," demikian kata Norashikin Mohd Aziz, ibu kepada pelakon cilik Puteri Balqis Azizi, 11, yang mengesahkan anaknya mengalami masalah jantung.

Ibu 'KL Special Force' itu memberitahu, perkara tersebut dimaklumkan doktor selepas Balqis atau mesra disapa Aqish, melalui siri pemeriksaan kesihatan menyeluruh sejak Disember lalu.

Klik untuk gambar besar


Sebelum ini, ibu Balqis memuatnaik foto anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri di laman Instagram, @rockingbalqis.

Keterangan mengiringi foto terbabit mengejutkan peminat apabila Norashikin mendakwa dia hampir kehilangan anaknya.

Tanpa menyatakan penyakit dihidapi Balqis, Norashikim menyarankan mereka yang mempunyai anak pesakit jantung atau kanser mengamalkan pengambilan teh basil dan daun pasli.

Kenyataannya membuatkan ramai tertanya-tanya apa sebenarnya penyakit dihidapi Aqishs. Namun, ruangan komen yang ditutup menyukarkan peminat berinteraksi dengan bintang cilik itu.



Norashikim berkata, biarpun berdepan masalah kesihatan, Balqis tetap kuat dan tidak mudah menyerah.

"Akhirnya, beberapa minggu lalu doktor dapat mengesan semua simptom terbabit adalah masalah jantung... Ketika ini, rawatan masih diteruskan," tuturnya.

Tambah Norashikim, Balqis yang pernah merangkul Pelakon Wanita Terbaik Asia, Anugerah Televisyen Asia 2014 itu dinasihatkan berehat di rumah secukupnya.



"Kami masih berulang alik ke hospital. Alhamdulillah, sudah nampak perbezaan berbanding beberapa minggu lalu. Malah, Aqish sudah lama kami rehatkan daripada berlakon.

"Sebenarnya, dari dulu lagi, kami hanya terima tawaran yang Aqish mahu saja. Ini kerana dia ada komitmen terhadap pelajaran selain menghadiri kelas piano dan masakan," ujarnya.

Norashikim berkata, ketika ini, Balqis mengisi masa dengan berenang dan menghadiri kelas disukainya.

"Sesi belajar dan berlakon kami rehatkan dulu walaupun sesekali dia merengek rindu hendak pergi ke set," jelasnya sambil menambah selama ini anaknya itu jarang demam sebaliknya aktif biarpun mengalami masalah asma sejak kecil.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: