21 July 2018
ARDELL MOHON MAAF, PERLU MASA UNTUK DIRI SENDIRI
"Sejak akhir-akhir ini, saya tidak lagi banyak bercakap. Saya mula penat apabila memaksa diri bercakap dan bertemu orang.
"Maafkan saya jika ada yang terasa hati apabila tidak membalas mesej atau menjawab panggilan telefon. Saya hanya insan biasa yang memerlukan masa untuk diri sendiri. Terlalu banyak tekanan yang saya lalui.
"Saya juga ada perasaan dan buat masa ini, saya hanya melakukan perkara yang saya mahu buat," luah pelakon Ardell Aryana yang memohon maaf apabila masih mengunci mulut mengenai penyakitnya dan berharap semua pihak memahami keadaannya yang mudah penat apabila memaksa diri bercakap.
Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 28, berkata, disebabkan keadaan kesihatannya itu, dia mengambil keputusan untuk mengelak seketika daripada bertemu orang ramai.
Klik untuk gambar besar
Pelakon yang dikenali menerusi drama 'Asam Pedas Untuk Dia' dan 'Anakku Diva' itu memuatnaik luahan itu menerusi akaun Instagramnya semalam.
Ardell sebelum ini, dikatakan menderita sakit kanser, namun persoalan itu masih menjadi tanda tanya apabila dia enggan merungkai kedudukan sebenar.
Tindakannya berdiam diri turut membuatkan ramai gusar, terutama apabila Ardell dikatakan tenat, baru-baru ini.
Menerusi entri yang sama, pelakon 'Surf This Love' itu turut memberitahu, bukan hanya orang luar, keluarganya juga terasa hati dengan perubahan sikapnya itu.
"Keluarga saya juga terasa kerana ada masanya, saya tidak bercakap dengan mereka. Ada masa saya bercakap dan bergelak, tetapi tidak selalu. Saya hanya berkongsi apa yang perlu dan bukan untuk meraih simpati.
"Jauh di sudut hati saya menghargai setiap sokongan dan doa yang diberikan. Terima kasih kerana memahami," katanya.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment