11 July 2018

LAMA MENYEPI - SHAHIR BERSAMA ERRA HIBURKAN PESAKIT MENTAL


Selepas beberapa bulan hilang dari radar industri hiburan selepas tamatnya pentas akhir AF Megastar Oktober lalu, penyanyi Shahir dilihat muncul membuat persembahan di hadapan pesakit mental.





Shahir tidak keseorangan apabila ditemani pelakon terkenal Erra Fazira bagi bersama menghiburkan pesakit-pesakit di wad psikiatri dan Pusat Kesihatan Mental (Mentari) Hospital Selayang.

Pasangan tersebut menyertai kunjungan Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 27 Jun lalu.

Menerusi satu video yang dimuatnaik agensi Badan Bukan Kerajaan itu, kedua-dua selebriti berkenaan menghabiskan masa dengan beramah mesra dan menyampaikan beberapa buah lagu raya kepada pesakit-pesakit di wad berkenaan.

Erra tampil anggun dengan berbaju kurung berwarna hijau, manakala Shahir berjaket hitam.

Klik untuk gambar besar


Dalam satu kenyataan di laman sosial, pihak Mentari mengucapkan terima kasih kepada Erra dan Shahir yang sudi meluangkan masa bersama mereka.

"Kami amat bertuah pada tahun ini menerima kunjungan daripada pihak Miasa Malaysia bagi meraikan hari raya bersama pesakit-pesakit pada 27hb Jun yang lepas.

"Pihak Mentari mewakili seluruh Jabatan Psikiatri Hospital Selayang mengucapkan jutaan terima kasih kepada Miasa kerana sudi meluangkan masa bersama-sama pesakit di wad psikiatri.

"Para pesakit kami amat gembira menerima kunjungan artis terkenal tanah air iaitu Erra Fazira dan Shahir.



"Terukir di wajah mereka senyuman yang ikhlas apabila dapat bersama-sama mendendangkan lagu raya serta menerima hadiah daripada Miasa.

"Semoga segala usaha murni pihak MIASA dalam memberi kesedaran tentang masalah mental dipermudahkan serta diberkati," tulisnya.

Erra dan Shahir selama ini digosipkan sedang bercinta namun hubungan itu masih lagi menjadi tanda tanya.

Dalam pada itu, Erra tidak menafikan Shahir ada berkunjung ke rumahnya untuk beraya pada awal Syawal lalu.




















www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: