28 July 2018

UBAH JANTINA PADA IC - JPN TAK TERIMA PERMOHONAN SAJAT


Walaupun melibatkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak Januari lalu, status jantina usahawan kosmetik yang kini bergelar selebriti, Nur Sajat Kamaruzzaman sehingga kini masih lagi menjadi tanda tanya dan bagaikan tiada jalan penyelesaian.





Disebabkan itu, pelbagai spekulasi timbul termasuklah dakwaan mengatakan beliau mengubah jantinanya pada kad pengenalan minggu lalu.

Susulan perkara itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan dibuat oleh Nur Sajat untuk mengubah status jantina pada kad pengenalan miliknya.

Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pihaknya tidak menghalang individu yang mahu membuat permohonan menukar jantina mereka pada MyKad, namun akan diteliti terlebih dulu mengikut prosedur ditetapkan.

Klik untuk gambar besar


"Dalam proses permohonan penukaran jantina, ada beberapa aspek yang akan dilihat, iaitu dokumen kelahiran yang disahkan oleh doktor.

"Di dalam sijil kelahiran terdapat tiga kategori jantina yang diletakkan iaitu lelaki, perempuan dan diragui.

"Sekiranya jantina individu berkenaan (yang memohon menukar jantina pada kad pengenalan) disahkan oleh doktor sebagai kategori diragui, mereka boleh mengemukan permohonan untuk memilih salah satu jantina yang lebih dominan apabila sudah dewasa," katanya.



Bagaimanapun pihak JPN akan menolak permohonan daripada individu yang sudah disahkan jantinanya sejak dilahirkan oleh doktor seperti tertera pada sijil lahir.

Terdahulu Sajat dilaporkan enggan menjawab isu mendakwa dirinya ke Ibu Pejabat JPN di Putrajaya, baru-baru ini untuk mengubah status jantina pada kad pengenalan.

Sajat ketika dihubungi NSTP memaklumkan dia enggan menjawab sebarang soalan berkaitan hal terbabit. Katanya, diam tidak bermakna dia melakukan perkara itu dan mengambil pendekatan berdiam diri dan menunggu saja.

Menurut Sajat, dia enggan mengambil pusing mengenai dakwaan terbabit kerana ada masalah yang lebih besar terpaksa ditanggungnya serta memohon diberikan privasi.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: