08 August 2018

"11 OGOS BUKAN TARIKH ARWAH BERNIKAH" - IBU NIZEN AYOB


Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 6 Ogos lalu, arwah Saiful Nizen Mohd Ayob atau lebih dikenali sebagai Inspektor Nizam dalam drama bersiri 'Gerak Khas' ini pernah memuatnaik mengenai tarikh '11 Ogos' yang dianggap bermakna dan percaya jodoh menjadi pengakhiran yang ditentukan Allah.





Tarikh 11 Ogos itu bagaimanapun menjadi tanda tanya, terutama dalam kalangan peminat artis itu apabila menganggap arwah sepatutnya berkahwin pada tarikh berkenaan.

Enggan ia terus menjadi tanda tanya, ibu kepada arwah iaitu Kamisah Nasri, 72, ketika ditemui di rumahnya di Taman Murni Jaya, Pekan Layang-Layang, berkata arwah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak mempunyai perancangan berkahwin dalam masa terdekat walaupun mengakui arwah memang mempunyai teman wanita.

"TARIKH (11 Ogos) bukan tarikh arwah bernikah, sebaliknya hari ulang tahunnya ke-34," jelas Kamisah berhubung perkara itu.

Klik untuk gambar besar


Katanya, perkara yang tidak dapat dilupakan adalah apabila arwah tidak putus-putus minta maaf dengan ibu dan ayahnya, Mohd Ayob Abdul Samad,73, dalam tempoh 10 hari sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.

"Arwah juga ada merancang untuk membawa saya dan suami mengerjakan ibadah umrah selepas menyatakan dia bermimpi berada di hadapan Kaabah bersama beberapa orang yang tidak dikenalinya.

"Namun saya hanya memujuknya untuk pergi ke sana apabila sudah sembuh sepenuhnya dan tidak sangka ia tanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga," katanya kepada NSTP.



Tambah Kamisah, arwah adalah seorang anak yang manja dengan kedua-dua ibu bapanya, selain rapat serta patuh kepada apa sahaja nasihat abang serta kakaknya dalam membuat apa sahaja keputusan.

"Sebenarnya dia mula demam sejak awal Ramadan lalu namun kembali pulih selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Pekan Layang-Layang dan Kuala Lumpur. Bagaimanapun keadaan sama berulang ketika umat Islam menyambut kedatangan Syawal.

"Melihat keadaannya yang semakin lemah, kakaknya menyarankan untuk mendapatkan rawatan di HSA sebelum ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir," ujarnya.

Kamisah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan anaknya serta mereka yang membantu menguruskan jenazah hingga selesai dikebumikan semalam.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: