07 August 2018

ISHAK NENGAH, BAPA JOE FLIZZOW SELAMAT DIKEBUMIKAN


Takziah kami ucapkan kepada penyanyi dan komposer, Joe Flizzow, atas kehilangan bapanya yang juga bekas personaliti televisyen, Ishak Nengah, 65, yang meninggal dunia pada 12.45 tengah hari semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya.





Difahamkan, bapa Joe Flizzow yang pernah berkhidmat dengan RTM dan TV3 itu menghidap barah hidung atau Nasopharyngeal carcinoma (NPC) sejak tujuh tahun lalu.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Darul Ehsan, untuk diberi penghormatan terakhir oleh kaum keluarga, kenalan dan saudara-mara sebelum disembahyang selepas solat Asar sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, kira-kira jam 6 petang.

Joe atau nama sebenarnya, Johan dan ibunya, Aisyah Ali bagaimanapun enggan ditemubual kerana bersedih atas pemergian Ishak.

Sementara itu, adik ipar Allahyarham, Saleha Ali, 60, memberitahu, Ishak mengalami sesak nafas, tengah malam kelmarin dan dikejarkan ke hospital pada jam 3.30 pagi semalam.

Klik untuk gambar besar


"Semasa dimasukkan ke hospital, arwah masih bersemangat hendak jalan dan bangun serta mampu bersolat. Namun, lama kelamaan, beliau semakin lemah dan nak bernafas pun tak boleh. Arwah dimasukkan ke hospital untuk menstabilkan pernafasan.

"Namun, doktor beritahu agak susah untuk pulih sehinggalah jam 12.35 tengah hari tadi arwah disahkan sudah pergi," katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian itu.

Ishak menghembuskan nafas terakhir di samping isteri dan tiga anak iaitu Johan (Joe), 38, Ashraf, 36, dan Iman, 28.

Menyifatkan Allahyarham mudah mesra dan sangat mengambil berat terhadap anak-anak, Saleha berkata, arwah menjadi penyokong kuat kerjaya Joe sebagai pemuzik.



Sementara itu, bekas rakan seperjuangan di TV3, Ras Adiba Radzi menyifatkan arwah sebagai 'abang' yang banyak membantu dan membimbing generasinya sebagai penyampai berita.

"Suatu kehilangan yang cukup memberi kesan kepada saya. Ini kerana dalam tempoh sesingkat ini, saya kehilangan seorang sahabat, Datuk Mahadzir Lokman, Jumaat lalu dan sekarang abang pula.

"Arwah banyak membimbing saya dan rakan seangkatan menjadi penyampai berita. Beliau tidak lokek ilmu... Walaupun sudah tidak aktif, arwah masih diundang sebagai pengacara majlis disebabkan kredibiliti dan kecintaannya dalam bidang ini," katanya.

Turut menziarahi jenazah adalah Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP), Datuk Manja Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Mohammad Azlan Abdullah serta bekas Ketua Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali.

Dilahirkan di Bota Kanan, Perak, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar kumpulan NSTP dari 1972 hingga 1977 sebelum menjadi pengacara di TV3.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: