28 August 2018
"LAVIDA COIN BUAT APA?" - AISHAH NAK EMAS ATAU DUIT
"Kalau nak ambil balik rantai yang diberi itu gantikan semula dengan barang kemas atau wang tunai sesuai dengan harga yang digembar-gemburkan.
"Bukan dengan memberi Lavida Coin, saya tak mahu itu, nak buat apa?. Seeloknya, dia minta maaflah kerana menipu!," demikian kata penyanyi Aishah yang menolak tawaran usahawan kosmetik Datuk Seri Vida iaitu menukar hadiah rantai berlian dimenanginya selaku juara Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4) dengan Lavida Coin.
Aishah, 53, berkata, dia hanya bersetuju jika rantai berlian yang didakwa berharga RM80,000 itu ditukar dengan wang tunai atau emas yang sama nilai.
Untuk pengetahuan, Lavida Coin ialah salah satu bentuk pelaburan mata wang kripto dan token digital yang diperkenalkan oleh Vida.
Klik untuk gambar besar
Pada Sabtu lalu, Aishah mendedahkan mengenai ketulenan barangan kemas tersebut selain masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjuarai GV4.
Dia turut meluahkan rasa kecewa apabila pemeriksaan di kedai barang kemas mendapati rantai berlian tersebut bukan asli dan tidak mempunyai nilai.
Sementara itu, penyanyi lagu 'Janji Manismu' ini memaklumkan pembantu peribadi kepada usahawan tersebut ada menghubunginya.
"Pembantu dia ada telefon saya, tapi tak sempat nak angkat kerana solat dan sekali lagi dia telefon tengah malam. Jadi masih belum berkesempatan berbincang mengenai perkara ini," ujarnya.
Menerusi laporan mStar pada Isnin, Vida meminta Aishah supaya memulangkan semula rantai tersebut dan akan memberikan sesuatu yang 'luar biasa' kepadanya.
"Saya akan adakan pertemuan dengan Aishah dalam masa terdekat. Kita duduk bersama-sama untuk menerima penyerahan kembali rantai itu dengan hati yang sangat gembira.
"Pulangkan kepada saya, tidak mengapa. Saya akan gantikan rantai itu dengan satu benda yang sangat luar biasa iaitu Lavida Coin. Lepas itu barulah dia akan kata inilah rupa-rupanya yang saya cari selama ini," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment