25 September 2018
AL-FATIHAH - PAK NGAH KEMBALI KE RAHMATULLAH
Industri hiburan sekali lagi kehilangan insan berbakat besar iaitu pejuang lagu irama Malaysia dan juga komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih mesra disapa sebagai Pak Ngah yang meninggal dunia di Batam, Indonesia pada pukul 3.02 petang tadi.
Berita sedih mengenai pemergian Pak Ngah itu disahkan oleh penyanyi irama Malaysia, Noraniza Idris menerusi anak komposer itu, Megat.
Menurut laporan Astro Awani, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang esok ke Malaysia. Sementara itu menerusi Utusan Malaysia, anak Allahyarham Pak Ngah yang hanya dikenali dengan nama Rina pula enggan memberi sebarang ulasan dan meminta kerjasama semua pihak agar memberi ruang kepada pihak keluarganya terlebih dahulu.
Penyanyi yang popular dengan lagu "Cindai", Datuk Seri Siti Nurhaliza berasa sedih di atas pemergian komposer lagu tersebut menyifatkan pemergian Pak Ngah satu kehilangan besar kepada industri muzik khususnya karya-karya irama etnik tradisional.
Klik untuk gambar besar
"Karya beliau akan terus hidup meskipun setelah ketiadaannya. Kenangan, gurau senda dan didikan Pak Ngah akan terus dalam ingatan kerana selain Allahyarham Adnan Abu Hasan, beliau adalah antara individu yang pertama menjalinkan kerjasama untuk Siti membawakan lagu-lagu irama tradisional," katanya.
Antara lagu popular ciptaan Pak Ngah nyanyian Siti Nurhaliza termasuk 'Ya Maulai', 'Balqis', 'Hati Kama' dan 'Badarsila'.
Konsert solo pertama Siti Nurhaliza di Stadium Putra Bukit Jalil merupakan arahan Pak Ngah dan kali terakhir penyanyi itu bekerjasama adalah sewaktu menyanyikan lagu raya Hari Kemenangan dua tahun lalu.
Salam takziah kami ucapkan buat keluarga Allahyarham Pak Ngah dan didoakan semoga mereka sentiasa tabah menghadapi kehilangan ini.
www.myartis.com / Sumber: Astro Awani & Utusan
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment