20 September 2018

ALIFF SYUKRI TAJA GV5: TAK MAHU BERULANG - ASTRO TENTUKAN SYARAT


Bagi penaja Gegar Vaganza musim kelima (GV5, pihak Astro telah menetapkan syarat tertentu agar tidak timbul sebarang isu seperti mana berlaku kepada juara GV4, Aishah.





Pengurus Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, kesemua penaja juga sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut dan sebarang isu tidak sepatutnya timbul.

"Pihak kami ada membuat perjanjian bertulis dan meletakkan syarat tertentu kepada pihak penaja agar isu dan kontroversi sebelum ini tidak berulang.

"Malah pihak penaja juga sedia maklum dengan syarat-syarat ini dan rasanya tidak akan menjadi apa-apa masalah," katanya ketika ditemui mStar pada sidang media memperkenalkan barisan 12 peserta GV5 yang diadakan pada petang Rabu.

GV5 yang membariskan 12 peserta itu bakal bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 30 September ini.

Klik untuk gambar besar


Buat pertama kali juga, program itu menampilkan kelainan apabila mengetengahkan penyanyi berkumpulan sebagai peserta iaitu Elite, Forteen dan duo, Billy Zulkarnain yang pastinya akan memberikan persaingan yang hebat terhadap peserta solo.

Antara artis lain yang bakal menggegarkan pentas GV 5 ialah Hetty Sarlene, Farahwahida, Noryn Aziz, Dia Fadila, Safura Yaacob, Maya Matahari ,Amelina, Zamani (Slam) serta Shafie (Rio).

Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih kekal sebagai pengacara manakala Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap.

Sebelum ini, Aishah membuat pendedahan dia masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjadi juara GV4.

Malah penyanyi lagu 'Janji Manismu' itu turut mendakwa, barang kemas hadiah daripada usahawan Datuk Seri Vida yang bernilai RM80,000 juga didapati palsu.



Sementara itu, penaja utama GV5, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memberitahu dia tidak mempunyai hak untuk menentukan bentuk hadiah akan diberikan kepada pemenang kerana perkara itu ditentukan sepenuhnya oleh pihak produksi.

Malah kata usahawan kosmetik itu, dia tidak berniat untuk meniru gaya Datuk Seri Vida kerana dia mempunyai strategi tersendiri dalam mempromosikan produknya.

"Saya cuma menaja... Berapa Astro suruh bayar saya beri tetapi untuk tentukan hadiah apa akan diberikan itu kerja pihak produksi dan saya tidak campur.

"Mengenai penampilan saya pada GV5 nanti, kalau Astro tak benarkan saya naik ke pentas saya akur... Kalau tak bagi saya menyanyi, saya ikut juga. Rasanya saya tidak perlu ikut cara Datuk Vida kerana itu karakternya manakala saya ada cara tersendiri," ujarnya.

Untuk makluman, program Gegar Vaganza bermula dari musim pertama sehingga musim keempat ditaja oleh Vida.








www.myartis.com / Sumber foto: mStar, Astro Gempak & Hlive


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: