03 September 2018

DILABEL 'OLD SCHOOL' - AISHAH TAK KISAH


"Saya percaya di luar sana masih ramai yang lebih puas apabila dapat memiliki sesebuah album, terutama penyanyi. Secara peribadi, album fizikal mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.





"Saya pasti, ramai penyanyi di luar sana turut berkongsi pandangan yang sama, namun terpaksa tunduk kepada aliran muzik semasa yang sudah berubah.

"Barangkali saya terlalu 'old school' atau kurang mengikuti perkembangan dari sudut ini. Walaupun lagu saya turut dijual secara digital, saya tetap berharap ia dapat diterbitkan dalam bentuk album fizikal.

"Peminat di laman sosial setia menunggu album fizikal saya diterbitkan," ujar penyanyi berpengalaman, Aishah yang masih menaruh keyakinan terhadap penjualan album fizikal ketika peminat muzik lebih terarah menikmati hiburan secara digital.

Katanya, walaupun tidak mampu kembali ke era jualan mencecah ratusan ribu unit seperti dulu, ramai pendengar tegar masih berminat mendapatkan album fizikal sebagai koleksi.

Klik untuk gambar besar


Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 53, antara penyanyi yang mencatat jualan album tertinggi sejak muncul dengan produksi pertama yang mengangkat namanya sebagai judul pada 1990. Album itu turut diedarkan di Indonesia, Singapura dan Brunei.

Terbaru, juara Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4) yang dianggap sebagai penyanyi yang memiliki vokal emas itu bakal tampil bersama single terbaru garapan Hazami, 'Malar'.

Sementara itu, mengenai konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada 15 dan 16 September ini, Aishah bakal beraksi di samping Musly Ramlee, Liza Hanim dan Rachel Guerzo Trio.

Katanya, pengalaman pertama mengadakan persembahan di lokasi berprestij itu pada 2009 membuatkan dia teruja apabila diundang kembali selepas hampir sedekad.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: