22 September 2018

"KEADAANNYA AGAK KRITIKAL & HANYA 2 KALI SEDAR" - ISTERI SALEEM


"Dua belas tulang rusuknya patah dengan satu daripadanya tercucuk pada paru-paru. Pemeriksaan doktor turut mendapati berlaku pendarahan pada otak kiri. Dua batang giginya juga patah dalam kejadian itu. Doktor terpaksa menebuk paru-paru Saleem untuk membolehkannya bernafas dengan oksigen.





"Semalam, ketika ambulans menghantarnya ke Hospital Kajang, suami masih boleh mengangkat tangan dan mengatakan 'okay', tetapi keadaannya menjadi kritikal tidak lama kemudian," jelas Juriah Bachok, isteri kepada penyanyi Saleem Iklim.

Motosikal yang dinaiki penyanyi 'Suci Dalam Debu' itu dikatakan dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta yang menyebabkan dirinya tercampak dan keadaan Saleem dilaporkan kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Mahkota Cheras, semalam.

Menurut Juriah, keadaan suaminya itu parah, malah hanya sedar sebanyak dua kali, hari ini dan Saleem ditempatkan di zon merah apabila pernafasannya mula tidak stabil dan diletakkan dalam keadaan koma.

"Sekitar jam 1 pagi, suami sedar, tetapi hanya tangan dan kaki yang digerakkan. Hari ini, keadaannya dilihat agak kritikal dan hanya dua kali dia sedar. Saya sedih melihat keadaan suami. Seumur hidup dia tidak pernah mendapat kecelakaan. Setiap kali sedar, Saleem mengalirkan air mata, mungkin menahan sakit yang teramat sangat.

Klik untuk gambar besar


"Apapun, saya dan keluarga reda ujian Allah ini. Saya mohon semua orang mendoakan agar Saleem cepat sembuh," tuturnya ketika ditemui di Hospital Kajang, selain turut juga berkata suaminya mampu membuka mata buat seketika selain menggerakkan bibir, tanpa mengeluarkan suara.

Katanya, dia maklum mengenai kejadian menimpa suaminya selepas mendapat panggilan daripada orang awam sekitar jam 3.45 petang, semalam.

"Mujurlah suami masih dapat mengingati nombor telefon saya dan meminta orang yang membantunya menghubungi saya. Mulanya, saya mahu ke tempat kejadian, tetapi diberitahu ambulans sudah membawa suami ke Hospital Kajang, jadi saya terus ke sana.

"Saya dan anak-anak terkejut melihat keadaan suami yang sudah menggunakan oksigen untuk membantu pernafasannya ketika dalam ambulans," katanya yang kini berusaha untuk membawa suaminya ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.



Manakala menerusi laman Instagram anak kandungnya, penyanyi Syafiq Farhain pula memohon semua pihak tidak menyebarkan berita palsu mengenai ayahnya.

"Tolong !! Tolong !! Tolong !! Jangan buat jangan sebar jangan viral cerita palsu pasal kematian.. 🙏🏻🙏🏻.. Sama-sama doakan ayah sy semoga cepat sembuh.. aamiin," tulis finalis program 'Big Stage' itu yang memuatnaik video keadaan di hospital di laman Instagram miliknya.

Di ruangan komen, peminat dan pengikut Syafiq turut mendoakan agar Saleem segera diberikan kesembuhan dan dalam masa sama mereka juga berdoa agar jejaka itu kuat semangat untuk menempuhi pentas akhir 'Big Stage' yang bakal berlangsung esok.

Dalam pada itu, persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) memandang serius penularan berita kononnya penyanyi berusia 56 tahun itu meninggal dunia, sejak awal pagi ini.








www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: