27 September 2018

PULIHKAN PARU-PARU - SALEEM SENGAJA 'DIKOMAKAN'


"Sebetulnya Saleem sudah sedar sekejap semalam tetapi dia tidak dapat bergerak atau bercakap... Imbasan pada paru-paru yang dibuat doktor juga mendapati kecederaan dialaminya masih agak teruk jadi mereka mengambil keputusan untuk menidurkannya.





"Ini bagi membolehkan kecederaan itu pulih dan kalau Saleem berada dalam keadaan sedar mungkin dia terpaksa menanggung kesakitan jika bergerak kerana tulang rusuknya juga patah," kata Julia Bachok mengenai keadaan suaminya, penyanyi Saleem.

Vokalis kumpulan Iklim itu masih diletakkan dalam keadaan koma walaupun beliau sudah sedarkan diri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis lalu.

Saleem sengaja 'dikomakan' bagi membolehkan kecederaan pada paru-paru kanannya akibat tertusuk tulang rusuk pulih selain mengurangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung sekiranya dia berada dalam keadaan sedar.

Klik untuk gambar besar


Ketika ini, Saleem masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.

Dalam pada itu, Julia berkata, laporan mengatakan 12 tulang rusuk Saleem patah adalah tidak benar sebaliknya hanya sembilan yang patah akibat kemalangan itu.

Jelas Julia, salah satu daripada tulang rusuk itu tertusuk ke bahagian paru-paru kanan penyanyi lagu 'Suci Dalam Debu' itu.

"Kecederaannya memang agak parah tetapi dia berada dalam keadaan stabil ketika ini cuma masih ada darah yang keluar daripada paru-parunya.



"Malah Saleem masih menggunakan alat bantuan pernafasan akibat paru-parunya yang cedera," jelasnya yang berharap semua peminat terus mendoakan agar Saleem kembali pulih seperti sedia kala.

Sementara itu, Julia merancang untuk menganjurkan satu persembahan amal bertujuan mengutip sumbangan bagi membiayai kos perubatan suaminya.

"Saya sudah menyenaraikan beberapa nama antaranya Haqiem Rusli dan Syafiq Farhain untuk terbabit dalam persembahan. Saya juga mungkin akan menyelitkan pemain gitar Iklim, Umarul dalam persembahan itu nanti," ujarnya.

Julia berkata, dia juga sudah berbincang dengan Pengurus Besar House, Mike Cubinar dan dia bersetuju untuk bekerjasama menganjurkan persembahan itu di House, G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: