29 September 2018

SELAMAT DIBEDAH - HASRAT DAYANGKU INTAN DERMA TERTUNAI


Alhamdulillah... penyanyi Dayangku Intan, 53, telah selamat menjalani pembedahan mendermakan buah pinggang kepada suaminya, Rosman Yahil, 56, di sebuah pusat perubatan, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.





Pengurusnya, Rushuhaimin Ab Rahman, berkata pasangan berkenaan sudah keluar daripada bilik pembedahan dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan.

"Saya ada bertemu mereka tengah malam tadi. Kedua-duanya menyampaikan salam dan terima kasih kepada semua yang mengirimkan doa.

Intan pun ada juga berpesan memohon maaf andai dia dan suami ada membuat kesilapan selain menghalalkan makan minum mereka.

"Berbanding Rosman yang agak lemah, Intan sangat bersemangat dan optimis untuk menjalani prosedur berkenaan yang bermula kira-kira jam 8 pagi tadi.

Klik untuk gambar besar


"Alhamdulillah, pembedahan yang mengambil masa tiga jam untuk Intan dan kira-kira lima jam membabitkan Rosman berjalan lancar. Cuma keadaan mereka perlu dipantau dulu sebelum dapat dipindahkan ke wad," katanya.

Terdahulu, penyanyi era 1980-an itu mendedahkan mahu mendermakan buah pinggangnya kepada suami yang mengalami masalah kegagalan organ terbabit, akibat kencing tikus.

Rosman yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi terkawal terkena kencing tikus, namun jangkitan merebak ke bahagian buah pinggang hingga ia gagal berfungsi sejak tiga bulan lalu.

Keadaan kesihatan suaminya yang merosot secara mendadak mendorong Intan untuk melakukan pemeriksaan bagi mendermakan satu daripada buah pinggangnya.



Akui Rushuhaimin lagi, walaupun berdepan dugaan, penyanyi yang juga rakan dikenalinya sejak bernaung di bawah WEA pada 1986 itu sentiasa positif, malah bersemangat menyebarkan mesej mengenai galakan menderma organ.

"Intan seorang yang kuat. Dalam menunggu proses pemeriksaan untuk menentukan sama ada ginjalnya sesuai untuk suami, dia tetap turun padang memenuhi undangan persembahan pentas, termasuk kelmarin.

"Pada masa sama beliau sebarkan mesej mengenai pendermaan organ, lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga terdekat. Beliau turut kerap memberi peringatan berkenaan bahaya kencing tikus," tuturnya.

Perkahwinan pemilik nama sebenar Tengku Intan Tengku Abdul Hamid dengan Rosman yang sudah mencecah 34 tahun diserikan empat anak dan seorang cucu.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: