05 October 2018

"ALHAMDULILLAH, KEADAAN AYAH STABIL & POSITIF" - SYAFIQ KYLE


Pelakon Syafiq Kyle memaklumkan keadaan ayahnya, Abd Razak Husin, 55, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan pada 20 September lalu kerana mengalami pendarahan di bahagian otak itu dalam keadaan stabil dan positif.





Kata Syafiq, ayahnya itu belum dibenarkan pulang ke rumah selepas dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Selangor sejak dua minggu lalu.

"Alhamdulillah, keadaan ayah stabil dan positif namun doktor masih memantau perkembangannya dari semasa ke semasa. Sejak berita ayah dimasukkan ke hospital tersiar di surat khabar, ramai rakan dari serata tanah air tidak putus datang melawat di hospital.

"Saya berharap semua pihak tidak perlu bimbang dan beri ruang kepada kami sekeluarga kerana doktor sentiasa memantau keadaan ayah. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak termasuk rakan dan peminat yang sentiasa mendoakan kesihatan ayah," katanya.

Klik untuk gambar besar


Pelakon drama 'Nur' itu berkata, dia juga sudah kembali ke lokasi penggambaran drama seperti biasa.

"Terbaru, saya terbabit dengan penggambaran drama Senafas Rindu bergandingan dengan pelakon Elizabeth Tan. Walaupun sibuk dengan penggambaran drama, saya tetap mencari masa untuk menziarah dan menemani ayah di hospital.

"Ibu, abang, adik serta ahli keluarga terdekat lain bergilir menemani ayah di hospital setiap hari," jelas bintang utama filem 'Langsuir' itu.

Terdahulu, ayah Syafiq dikejarkan ke pusat perubatan itu kerana rebah sebaik saja selesai menyanyi di majlis sesi bertemu peminat bersama pelakon terbabit yang berlangsung di pusat karaoke di Subang, Selangor pada jam 9.30 malam hari sama.






www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: