03 October 2018

BERI INSPIRASI - DAYANGKU INTAN TERIMA SUMBANGAN YKAT


Penyanyi terkenal era 1980-an, Dayangku Intan, 53, dan suaminya, Rosman Yahil, 56, telah menerima kunjungan Yayasan Kebajikan Artis Malaysia (YKAT) yang terus prihatin menjaga kebajikan.





Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave percaya pengorbanan dilakukan penyanyi terkenal era 1980-an, Dayangku Intan, mampu memberikan inspirasi buat golongan wanita dan berkata artis terbabit bukan sekadar banyak memberikan sumbangan dalam bidang seni, malah wanita yang begitu menyayangi keluarganya.

"Intan isteri yang sangat baik dan sangat menyayangi suami serta keluarganya. Kita doakan semoga mereka berdua kekal bahagia dalam melayari rumah tangga selepas menjalani pembedahan yang penuh risiko ini

"Saya memang kagum dengan pengorbanan Dayang sebagai isteri kepada suaminya. Ia boleh dianggap sebagai sebuah kisah cinta yang sukar ditemui pada masa kini.

Klik untuk gambar besar


"Setakat ini kami telah memberikan sumbangan sebanyak RM2,000 dan mungkin akan bantu lagi sekiranya Dayang memerlukan sepanjang tempoh tiga bulan dia berehat nanti," kata Dave selepas melawat penyanyi terbabit, di Pusat Perubatan Prince Court, hari ini.

Pemilik nama sebenar Tengku Intan Tengku Abdul Hamid itu selamat menjalani pembedahan untuk mendermakan buah pinggang sebelah kanan kepada suaminya pada 29 September lalu.

Rosman disahkan mengalami kegagalan fungsi kedua-dua buah pinggang, sejak Jun lalu. Pembedahan yang dilakukan di pusat perubatan berkenaan mengambil masa sekitar empat jam.

Dalam lawatan yang turut disertai oleh Pemegang Amanah YKAT, Datuk Nash, dan Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin itu, Dave juga menghulurkan sumbangan pihak yayasan kepada penyanyi terbabit.



Sementara itu, Nash kagum dengan semangat dan kasih sayang ditunjukkan oleh penyanyi Karang Di Lautan Sepi berkenaan demi insan disayanginya.

"Dia wanita yang hebat dan mengagumkan semua orang, termasuklah lelaki seperti saya," ujar Nash yang juga penyanyi seangkatan dengan Intan.

Tambah beliau, sehingga kini YKAT yang telah ditubuhkan sejak enam tahun sudah berjaya membantu lebih dari 1,000 orang artis.

"Diharapkan dengan sedikit sumbangan ini dapat membantu meringankan beban beliau dan keluarga," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: