06 October 2018

FARID GAGAL DAPAT PASPORT - DIANA MOHON DOAKAN IBUNYA


Pada Jumaat lalu, Mahkamah Majistret telah menolak permohanan pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil bagi mendapatkan sementara pasportnya atas urusan ke luar negara.





Menerusi laporan Bernama, Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu selepas Farid, 37, tidak mengemukakan dokumen sokongan berhubung permohonan tersebut.

Sebelum ini, peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili Farid mengemukakan permohonan itu atas alasan anak guamnya akan ke luar negara untuk menjalani penggambaran filem.

Dalam prosiding sebutan semula lima pertuduhan jenayah yang dihadapi Farid, mahkamah turut mengekalkan tarikh perbicaraan selama lima hari bermula 27 Nov depan.

Malah, Farid yang ditemani isterinya, Datin Diana Dianelle ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata dia memerlukan pasport itu bagi urusan kerja.

Klik untuk gambar besar


"Sebagai pelakon, sememangnya saya perlukan pasport antarabangsa untuk urusan lain. Kini aktiviti lakonan saya juga terbatas kerana masih terikat dengan prosiding mahkamah," katanya.

Bagaimanapun, pelakon 'Lagenda Budak Setan' itu akur dengan keputusan yang telah ditetapkan dan memahami prosedur mahkamah.

Di hadapan Majistret Salamiah Salleh, mahkamah menetapkan 26 sehingga 29 Nov untuk perbicaraan kes laporan palsu yang dihadapinya. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee dan Mohamad Firdaous Mohamed Idris.

Sementara itu, Diana meminta orang ramai untuk sama-sama mendoakan keselamatan ibu, Norsiah Ramli dan rakannya yang ketika ini sedang bercuti di Pulau Jeju sejak beberapa hari lalu.



Diana berkata dia berasa risau selepas mendapat tahu laporan berita mengenai Pulau Jeju akan dilanda ribut dan taufan.

"Saya berasa risau dengan keselamatan mama kerana baru dapat tahu dari laporan berita, Pulau Jeju akan dilanda ribut dan taufan.

"Penerbangan pulang mama ke Kuala Lumpur yang dijadualkan esok juga ditunda kerana lapangan terbang di Pulau Jeju juga ditutup sejak semalam.

"Saya berdoa semoga mama dan rakannya serta semua pelancong di Pulau Jeju berada dalam keadaan selamat. Saya juga tidak akan membenarkan mama bercuti tanpa ditemani ahli keluarga terdekat selepas ini," tuturnya.



Menurut Diana, dia terus menghubungi ibunya menerusi aplikasi WhatSapp bila dapat tahu mengenai berita taufan yang akan melanda pusat pelancongan terkenal di Korea Selatan itu.

"Mama nampak tenang saja ketika saya bertanya keadaannya dan rakan di sana. Namun, saya tahu mama sangat risau dengan keadaan cuaca buruk di sana. Ketika saya berhubung dengannya hari ini, mama beritahu memang hujan lebat dan ribut di sana sekarang," katanya.

Terus-terang, kata Diana, pada mulanya, dia memang berat hati untuk membenarkan ibunya bercuti bersama rakannya di Pulau Jeju itu.

"Saya juga tidak sampai hati untuk menghalang kerana mama sudah lama tidak bercuti kerana sibuk bekerja. Namun, saya berasa terkilan kerana tidak berada di sisinya ketika berdepan dengan situasi sukar sedemikian," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber: mStar & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: