28 October 2018

"ITU HANYALAH SPEKULASI" - LUFYA NAFI RUMAH TANGGA BERMASALAH


Gara-gara bertindak memadam gambar-gambar suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharom, 28, yang pernah dikongsikan sebelum ini, kecoh seketika apabila ada khabar angin mendakwa kononnya rumah tangga pelakon Lufya Omar, 33, itu bermasalah.





Bagaimanapun, menurut Lufya, semua itu hanyalah spekulasi semata-mata. Katanya, hubungannya dan suami baik-baik sahaja.

"Khabar angin yang mengatakan rumah tangga kami retak itu hanyalah satu spekulasi sahaja. Itu hanyalah andaian pihak tertentu sahaja selepas melihat gambar suami sudah tidak ada di Instagram.

"Hakikat sebenarnya, ia merupakan satu permintaan yang dibuat oleh suami saya sendiri. Suami saya seorang doktor, jadi profesion itu menuntutnya untuk fokus kepada kerja.

"Jadi, sebolehnya, dia tidak mahu saya terlalu kerap berkongsi gambar bersama kerana dia tidak mahu menerima gangguan daripada netizen,” katanya yang memberitahu dia kini sudah rindu untuk kembali semula berlakon selepas melahirkan anak sulungnya, Laana Haura yang kini berusia 11 bulan.

Klik untuk gambar besar


Menurut Lufya lagi, banyak gambar-gambar kenangan yang dikatakan dibuang sebenarnya hilang semasa akaun Instagram digodam pihak tidak bertanggungjawab pada awal tahun lalu.

"Memang banyak gambar kami bersama sejak di awal perkenalan sudah tidak ada di Instagram. Mungkin ada yang tidak menyedari bahawa beribu-ribu gambar yang pernah saya kongsikan sebelum ini pernah hilang semasa digodam.

"Bahkan, sebelum ini pun saya pernah tampil dengan kenyataan bahawa saya diugut untuk membayar sejumlah wang daripada penggodam dari Iran untuk mendapatkan akses semula ke Instagram saya. Jadi mungkin dari situ orang fikir saya membuang semua gambar kenangan kami berdua," ceritanya.

Bagaimanapun, kongsi Lufya selepas spekulasi itu bertebaran baru-baru ini, dia dilihat mula berkongsi gambar bersama suaminya semula di Instagram. Katanya, tindakan itu dibuat selepas berbincang dengan sumai demi mengelakkan daripada timbulnya cerita-cerita yang tidak dinginkan.



"Apabila kita tidak berkongsi gambar (dengan suami), timbul pula isu lain, apabila kita sering kongsi, ada pula kata kita menunjuk.

"Apapun, selepas berbincang dengan suami, dia kata kongsi sahajalah, cuma jangan terlalu banyak. Lagipun, saya kena jaga kredibilitinya sebagai doktor," jelasnya yang kini mempunyai seorang cahaya mata, Laana Haura yang berusia 11 bulan selepas mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016.

Dalam pada itu, menurut Lufya dia kini sudah bersedia untuk membuat kemunculan semula di kaca televisyen.

"Selepas drama Umairah, saya berkahwin, kemudian berbadan dua dan sibuk menguruskan keluarga. Memang rindu nak kembali berlakon semula.

"Saya pun sebenarnya dah bersedia untuk ke set semula. Sekarang ini pun tengah dalam usaha nak menguruskan lagi badan selepas bersalin tempoh hari. Saya pun dah okey nak seimbangkan antara tanggungjawab antara keluarga dan berlakon," katanya yang memberitahu suami juga sudah memberikan lampu hijau untuknya kembali aktif.




www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: