31 October 2018

KERETA KEMENANGAN - WANY HASRITA HADIAHKAN KEPADA IBU


"Kereta yang dimenangi ini dihadiahkan kepada ibu yang menjadi idola dan tulang belakang kekuatan saya sejak dulu. Rezeki daripada kemenangan itu juga memudahkan pergerakan ibu untuk menjalani rutin harian.





"Alhamdulillah, rezeki ini dapat kami kongsi bersama selepas mengharungi susah dan senang. Lagipun, ibu belum membenarkan saya untuk memandu sendiri kerana bimbangkan keselamatan," kata penyanyi Wany Hasrita.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 yang menerima kereta Citroen C4 Picasso L2 sebagai ganjaran kemenangan itu menghadiahkan kenderaan itu buat ibu tersayang, Norita Jaafar.

Wany berkata, kemenangannya pada malam kemuncak ABPBH 31 lalu lebih bermakna apabila dapat berkongsi kegembiraan itu bersama insan yang banyak berjasa membesarkannya selama ini.

Klik untuk gambar besar


Wany atau nama sebenarnya, Nur Shazwany Hasrita Hasbullah, 25, menerima hadiah itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Naza Euro Motors Sdn Bhd, Yasser Awan disaksikan Pengarang Eksekutif BH merangkap Penaung ABPBH 31, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Yang turut hadir Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Pengelola ABPBH 31, Shamshul Azree Samshir.

Pada malam kemuncak ABPBH 31 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 7 Oktober lalu, Wany meraih undian tertinggi menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular dengan 2,052,997, sekali gus dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.



Wany yang popular dengan lagu 'Menahan Rindu' menafikan pencabar terdekatnya, Khai Bahar, selain menghampakan pemenang tahun lalu, Fattah Amin.

Menerusi kemenangan itu, Wany yang juga lulusan Sarjana Muda Sains Perubatan, Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam itu membawa pulang hadiah utama, kereta Citroen C4 Picasso L2 bernilai kira-kira RM126,000 berserta trofi.

Wany turut mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular, menghampakan pemenang edisi lalu, Siti Nordiana yang memberikan saingan sengit untuk membuktikan pengaruhnya di mata peminat.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: