03 October 2018

MAMPU BERCAKAP - DOKTOR PUTUS SALEEM TAK PERLU DIBEDAH


Isteri kepada penyanyi Saleem, Juriah @ Julia Bachok memberitahu keadaan suaminya itu yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur, kini semakin positif apabila sudah sedar dan mampu bercakap.





Vokalis kumpulan Iklim itu yang mengalami kemalangan pada 20 September lalu itu sudah dipindahkan ke wad biasa PPUKM kelmarin.

Kata Juriah lagi, Saleem yang sebelum ini hanya mampu menggerakkan kaki dan membuka mata sudah mula bercakap dan bangun dari pembaringan.

"Alhamdulillah, suami saya sudah sedar dua hari lalu dan perkembangan ini sangat menggembirakan kami. Doktor putuskan untuk tidak melakukan pembedahan kerana bimbang keadaannya bertambah teruk.

Klik untuk gambar besar


"Mereka hanya akan beri dia minum susu untuk memulihkan tulangnya. Hanya bahagian kanan paru-paru ditebuk sebelum ini bagi mengeluarkan darah beku," katanya.

Menurutnya, doktor juga belum memutuskan tarikh sesuai untuk membenarkan Saleem pulang ke rumah kerana banyak lagi proses perlu dilalui.

"Tidak tahu lagi bila boleh keluar kerana dia masih perlu diajar bagaimana cara untuk bangun, duduk dan sebagainya. Sebelum ini dia hanya berbaring dan situasi ini agak merisaukan saya," jelasnya.



Sementara itu, Julia merancang menganjurkan satu persembahan amal yang bertujuan mengumpul sumbangan bagi membiayai kos perubatan suaminya.

"Perbincangan dengan penganjur dan beberapa pihak sedang berjalan. Mungkin persembahan ini diadakan apabila suami sihat dan dia boleh hadir ke lokasi untuk sama-sama menonton.

"Di Kuantan sudah ada pihak berminat menganjurkan persembahan amal bagi membantu Saleem. Kami sudah capai kata persetujuan tetapi bergantung kepada tahap kesihatan Saleem.

"Tunggulah dia sihat sikit kerana saya akan membawanya ke sana," katanya yang turut memaklumkan persembahan itu bakal menyaksikan barisan artis menyanyikan lagu dendangan Saleem.






www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: