27 October 2018

PROGRAM TV - SALWA ABDUL RAHMAN ENGGAN SERTAI, TAK KENTAL


"Saya tidak bersedia untuk menyertai apa saja program realiti TV buat masa ini kerana bimbang dengan komen dan kritikan juri.





"Ini kerana saya bukanlah seorang yang berhati cekal untuk menerima komen serta kritikan dilontarkan itu dengan tenang dan hati terbuka.

"Oleh itu, daripada saya berasa susah hati dan tidak tenang untuk tidur malam kerana asyik berfikir, lebih baik tidak menyertainya langsung.

"Apapun, setiap orang ada pilihannya sendiri. Bagi saya, ini yang terbaik buat diri ini," kata penyanyi Salwa Abdul Rahman, 52, pula enggan melakukannya menyertai program realiti TV bagi membuat 'kemunculan semula' seperti segelintir penyanyi seangkatannya.

Ibu dua anak yang bertemu jodoh dengan bekas pemain bola sepak, Subadron Abdul Aziz, 53, ini berkata, dia tidak memiliki semangat kental untuk berhadapan dengan komen dan kritikan juri.

Berbicara mengenai perjalanan karier nyanyiannya, Salwa yang sudah tiga dekad bergelar anak seni berkata, dia masih lagi aktif menyanyi.

Klik untuk gambar besar


"Walaupun perjalanan karier nyanyian saya nampak seakan sepi, hakikatnya sehingga kini ada sahaja tawaran menyanyi terutama untuk majlis makan malam atau acara korporat.

"Saya pun tidak cerewet dan terlalu memilih kerana pembabitan saya dalam bidang ini bersandarkan minat.

"Malah, dengan peluang tawaran persembahan diterima itu saya bersyukur sekurang-kurangnya karier nyanyian masih bertahan," ujarnya.

Mengulas perkembangan industri hiburan tanah air, Salwa yang dikenali dengan lagu irama Malaysia dan dangdut berkata ada perubahan besar sedang berlaku.

"Kita dapat lihat kemunculan ramai bakat baru dalam semua cabang seni. Ada yang berbakat besar dan tidak kurang juga sebaliknya.



"Apapun, perkara asasnya sama ada berjaya atau tidak, bergantung pada rezeki. Bagi saya, nak berjaya dan mencapai impian, kena berusaha.

"Cuma, sekarang segala-galanya jadi lebih mudah dengan adanya teknologi canggih," tuturnya.

Ditanya adakah bakat seninya diwarisi anak iaitu Puteri Sulaikha, 20 dan Putera Sufrie Nizam, 17, wanita kelahiran Johor ini memberitahu tidak ada seorang pun mengikut jejak langkahnya.

Menurut Salwa, dia bersikap terbuka dalam menyokong minat anak. Malah, dia tidak berasa ralat anaknya tidak berminat menceburi bidang seni.

Manis berhijab, Salwa berkata, sudah dua tahun dia berhijrah. Katanya, dengan faktor usia kian meningkat, hidayah dikurniakan Allah SWT sangat disyukuri.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: