13 October 2018

SEBAR 'MUNAFIK 2' - PEKERJA SYARIKAT GRAFIK BAKAL KE MAHKAMAH


Seorang kakitangan sebuah syarikat grafik di Perak yang didakwa menyebarkan filem 'Munafik 2' secara haram di laman Internet itu bakal berhadapan tindakan undang-undang.





Pengarah dan pelakon Munafik 2, Syamsul Yusof menerusi peguam yang dilantik telah memfailkan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak, awal minggu ini.

Syamsul berkata, dia kesal dengan penyebaran itu dan menyifatkan tuntutan tersebut sebagai satu pengajaran kepada pemuda berkenaan.

"Perbuatan ini adalah satu barah dalam industri filem kita. Kita pun tahu industri sedang berada dalam landasan yang baik tapi bila isu ini masih ada, susahlah.

"Pendapat saya, pihak penerbit, pengarah dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) perlu duduk semeja untuk mencari penyelesaian isu ini.

Klik untuk gambar besar


"Sampai bila pengkarya harus dihantui perkara ini? Apa guna dana diberi, buat filem, tapi akhirnya bocor," ujar Syamsul yang ditemui media sewaktu sidang media Pelanggaran Hak Cipta Digital Skop Production Sdn Bhd di Finas, Hulu Klang, pada Jumaat.

Tambah Syamsul, tindakan undang-undang yang diambil bukanlah semata-mata kerana ia berlaku ke atas filemnya, malah ia dibuat bagi kebaikan keseluruhan industri filem tanah air.

"Ramai dah terkena benda ni, tapi sebelum ini ia diselesaikan dengan budi bicara, sebab pesalah padam video dan mohon maaf.

"Tapi pemuda ini sangat sombong dan bongkak, kita minta padam tapi dia semakin sebar, seolah-olah mencabar kami. Atas nasihat rakan-rakan pengeluar filem, kami ambil tindakan ini untuk kepentingan bersama," katanya yang turut meluahkan rasa kesalnya berhubung kebocoran filem itu.



Menurut Yusof, surat perintah mahkamah sudah dihantar kepada individu terbabit kira-kira jam 10.20 pagi semalam dan sebutan kes akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Taiping pada 22 Oktober ini.

"Isu yang timbul ini memberikan interpretasi buruk terhadap industri filem kita. Saya dapat maklum balas daripada penonton di Indonesia yang mengatakan, untuk apa mereka ke panggung kalau boleh menonton filem ini di media sosial?" jelasnya.

Mengulas mengenai kutipan filem itu, ia setakat ini berjaya mengumpul RM43 juta sejak ditayangkan bermula 30 Ogos lalu.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali dan Fauziah Nawi.

Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada 2016 berjaya meraih kutipan keseluruhan berjumlah RM17 juta.


www.myartis.com / Sumber: mStar & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: