13 October 2018

KERANA KES DISAMAN RAFIENA - REPUTASI 3 DEKAD DIDIE 'MUSNAH'


"Sepanjang setahun lalu memang reputasi saya terjejas teruk dan usaha saya membina nama dalam bidang seni selama tiga dekad seolah-olah sia-sia.





"Ramai pihak yang hilang kepercayaan terhadap saya dan paling menyedihkan ada yang terus menjatuhkan hukum walaupun kes itu masih belum disebut di mahkamah," kata pelakon dan pengacara Didie Alias pada sidang media dan majlis kesyukuran yang diadakan pada petang Jumaat.

Turut hadir pada acara itu adalah peguamnya, Azlan Abdul Razak, aktres Amyza Aznan serta anak-anak Rumah Kasih Nurul Hasanah.

Didie atau Fadzilah Mohamad memberitahu sepanjang setahun lalu dia berhadapan dengan pelbagai tohmahan ekoran saman sivil yang difailkan penerbit Datuk Rafiena Ezanne Ramli.

Jelas Didie, 44, gara-gara kes itu reputasinya selama tiga dekad sebagai anak seni musnah apabila ramai pihak hilang kepercayaan kepadanya tanpa mengetahui situasi sebenar.

Klik untuk gambar besar


Pada 2 Oktober lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman sivil Rafiena dan syarikat Dark Wave Picture terhadap Didie dengan kos RM10,000 selepas penerbit itu gagal membuktikan tuntutan-tuntutan terhadap Didie.

Rafiena atau Rafena Ezanee Ramli mengemukakan saman terhadap Didie berikutan dakwaan berlakunya pelanggaran kontrak dan pengaiban terhadap dirinya.

Mengimbau detik hitam itu, Didie berkata selepas berita dia disaman penerbit itu, namanya pernah digugurkan sebagai hos sebuah program sehari sebelum penggambaran dimulakan walaupun persiapan sudah dilakukan.

Malah kata Didie, namanya juga sering ditolak oleh stesen televisyen untuk program atau drama tanpa diketahui puncanya.



"Saya mulanya keliru, selama ini tidak pernah bermasalah dengan stesen TV tetapi nama digugurkan kerana kes saman itu. Apapun, saya anggap ia dugaan daripada Allah SWT untuk ditempuhi dan syukur Alhamdulillah semuanya sudah selesai sekarang," ujarnya.

Dalam pada itu, Didie berkata, pihaknya dan Rafiena pernah cuba menyelesaikan kes itu menerusi proses mediasi sebelum perbicaraan namun gagal.

"Pernah kami bersama peguam masing-masing duduk berbincang untuk selesaikan di luar mahkamah tetapi hasilnya gagal. Pun begitu akhirnya kes ini selesai dengan baik dan apa paling penting saya dapat bersihkan nama dan reputasi saya yang terjejas," ujarnya.

Sementara itu, Didie berkata, kejadian itu dijadikan pengajaran kepadanya agar lebih berhati-hati dan akan memastikan setiap projek diterimanya mempunyai kontrak agar tidak timbul sebarang masalah.

Enggan berpaling ke belakang, Didie berkata fokusnya kini adalah untuk meneruskan kariernya seperti biasa. Didie berkata selama dia berdepan isu itu, suami, anak-anak, keluarga dan kenalan rapat menguatkan semangatnya tabah menghadapi dugaan.




www.myartis.com / Sumber: mStar & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: