18 November 2018

"SAYA DOAKAN RUHAINIES & KEKASIH BERTEMU JODOH" - AZREL ISMAIL


"Mungkin saya tidak kaya seperti bakal suaminya dan saya tidak kecewa, cuma sedikit terkilan apabila hubungan kami berakhir, tetapi saya gembira dia akhirnya bertemu jejaka yang dicintai. Ruhainies adalah gadis yang baik dan sentiasa mendahulukan keluarganya.





"Dia juga lembut dan manja, malah karakternya itu membuatkan lelaki mudah terpikat. Sebagai lelaki yang pernah rapat dengannya, saya gembira melihat Ruhainies bertemu jejaka yang dicintai.

"Saya mendoakan Ruhainies dan kekasihnya segera bertemu jodoh," kata pelakon Azrel Ismail, 34, yang sentiasa mendoakan kebahagiaan Ruhainies, 26, dan berharap percintaan gadis itu dengan ahli perniagaan, Mr E akan berakhir di jenjang pelamin.

Anak kelahiran Taiping, Perak itu berkata, dia turut tumpang gembira mendengar pengakuan pelakon bertubuh kecil molek itu dilamar kekasihnya ketika bercuti di Itali, baru-baru ini.

Mengakui pernah rapat selama hampir dua tahun, Azrel juga yakin jejaka yang menetap di London itu mampu memberi Ruhainies kebahagiaan yang diimpikan.

Klik untuk gambar besar


Pelakon yang mula dikenali menerusi drama 'Syurga Nur' dan 'Isteri vs Tunang' itu berkata, biarpun hubungan cintanya dengan Ruhainies tidak kesampaian, mereka masih kekal sebagai kawan baik.

"Sudah ditakdirkan dia bukan jodoh saya, namun kami tetap baik sebagai kawan. Tiada dendam atau permusuhan. Saya juga ada menghantar ucapan tahniah di Instagram miliknya, baru-baru ini," tuturnya yang rapat dengan pelakon itu selepas bergandingan dalam drama, Menantu Ting Tong.

Azrel juga menafikan, dia pernah terhegeh-hegeh untuk memenangi cinta Ruhainies, sebaliknya mengambil keputusan mengundur diri kerana enggan mengganggu kebahagiaan gadis itu.

"Saya tahu ramai lelaki yang menyimpan perasaan terhadap Ruhainies, jadi saya ambil keputusan untuk menjauhkan diri dan tidak menghubunginya lagi.



"Namun, kami tetap bertegur sapa di laman sosial. Lagipun, semua itu kisah lama. Memang terkilan kerana hubungan kami tidak kesampaian, tetapi saya gembira melihat dia bahagia," ujarnya yang mengambil keputusan mengundur diri kerana enggan mengganggu kebahagiaan Ruhainies.

Mengetahui berita Ruhainies dilamar kekasihnya itu menerusi berita yang dilaporkan media, Azrel berkata, dia juga tiada masalah untuk berlakon dengan Ruhainies andai dipertemukan dalam mana-mana drama selepas ini.

"Kami juga masih berhubung sebagai kawan di Instagram dan saya juga sudah meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya tiada masa untuk bersedih kerana lebih baik saya fikirkan karier yang masih jauh lagi,” katanya.

Ditanya mengenai pengganti pula, kata Azrel, dia masih belum bertemu wanita idaman: "Terus terang, ramai wanita yang cuba mendekati dan mahu berkawan tetapi saya masih mencari calon yang tepat".




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: