25 November 2018

"SAYA TAK RASA RALAT" - ALTIMET TETAP BERPEGANG PADA PRINSIP


Sebelum ini, penyanyi rap Altimet, 39, menegaskan dirinya tidak akan beraksi pada malam kemuncak, Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) biarpun lagu dendangannya, 'Bunga' mara ke pentas akhir acara berprestij itu.





Altimet memberitahu, dia sudah memilih penyanyi yang akan menggantikan dirinya pada malam kemuncak yang akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Februari depan.

Menurutnya, dia memang sudah membuat perancangan itu sejak membuat keputusan untuk berhenti menyanyi dan langsung tidak rasa ralat lagunya dinyanyikan orang lain.

"Ada tiga kemungkinan sebaik lagu ini masuk Muzik Muzik itu masuk separuh akhir, tak masuk, ataupun masuk peringkat akhir. Saya sudah bersedia dengan kemungkinan itu dan membuat perancangan mengenainya.

"Keputusan ini sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini iaitu saya tidak akan menyanyi lagi selepas usia genap 40 tahun pada 27 November (Selasa ini).

Klik untuk gambar besar


"Saya tak rasa ralat jika orang lain yang menyanyikan lagu Bunga. Ini adalah atas kehendak saya sendiri dan dibuat dengan persetujuan produksi.

"Saya sudah memilih penyanyi yang bakal menggantikan saya. Nama mereka hanya akan diumumkan pada acara promosi AJL33 kelak," katanya.

Altimet yang juga bekas anggota kumpulan Teh Tarik Crew berkata, dia tidak akan tunduk dengan desakan yang mahukan dirinya menyanyi pada malam itu.

"Kalau saya beri kelonggaran untuk AJL33, akan ada permintaan lain pula. Ini adalah janji yang saya buat ketika menghasilkan album. Saya kena buat sehabis baik untuk tempoh 10 tahun ini, selepas itu, saya perlu buat benda lain.



"Jadi, saya kena tunaikan janji saya. Sewaktu mulakan karier solo pada 2008, saya berjanji untuk menyanyi 10 tahun saja. Kecuali kalau mak saya suruh nyanyi dan tak nyanyi, saya masuk neraka," tegasnya.

Mengenai calon pengganti pada AJL33, Altimet atau nama penuhnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yakin penyanyi terbabit mampu mendendangkan 'Bunga' dengan baik.

"Daripada segi konsep persembahan, kami akan bincang bersama. Saya letak sepenuh keyakinan kepada mereka. Apa yang penting, mereka kena bawa aura sendiri di pentas," ujar pemenang kategori Persembahan Terbaik AJL32 ini.

'Bunga' hasil ciptaan Omar K dan John Jeevasingam, dipetik daripada album Altimet berjudul Air yang menemui peminat, April lalu.

Altimet beraksi pada sesi kedua separuh akhir Muzik-Muzik 33 (SFMM33) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: