09 December 2018

AWI RAFAEL: "BIARLAH KISAH DULU TIDAK DIUNGKIT KEMBALI"


Semua mengetahui mengenai penyanyi Awi Rafael, 32, yang pernah diuji apabila terbabit dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya, manakala Atikah Suhaime, 27, terpaksa menanggung malu apabila berdepan kontroversi yang mencalarkan nama baiknya.





Musibah terbabit yang menerpa tanpa disangka membibitkan perasaan cinta antara mereka, seterusnya membawa pasangan itu ke jenjang pelamin.

Bakal disatukan pada 17 Mac depan di Singapura, Awi yang terkenal dengan lagu Kalau Aku Kayu berkata, Atikah hadir dalam hidupnya pada masa yang tepat ketika dia memerlukan seseorang.

"Selama enam tahun mengenalinya, saya tidak pernah meletak harapan dia akan menjadi jodoh kerana saya ikhlas berkawan dengannya.

"Perasan halus itu hadir ketika kami berada di Jakarta, Indonesia, pada November tahun lalu atas urusan kerjaya. Selepas tiga bulan menyelami dirinya yang sebenar, hati saya kuat mengatakan Atikah adalah jodoh yang ditakdirkan.

Klik untuk gambar besar


"Saya mahu menjadi suami yang boleh menjaga nama dan menebus maruah serta martabat wanita yang pernah teraniaya sepertinya," katanya.

Awi atau nama sebenarnya, Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael menyifatkan, Atikah sebagai gadis yang tabah mengharungi dugaan hidup.

Katanya, Atikah sanggup kembali hidup seperti orang biasa, malah selama enam bulan turun naik bas dan tren setiap hari ke tempat kerja apabila mengambil keputusan meninggalkan seketika dunia lakonan.

"Dia mengetepikan perasaan malu demi mencari sesuap nasi buat keluarga. Tidak mengapa jika masih ada yang mahu membuka aibnya kerana sekurang-kurangnya saya kini ada di sebelahnya.



"Biarlah kisah dulu tidak diungkit kembali kerana setiap kita punya kisah silam yang masih berbekas hingga hari ini," ujarnya.

Bersyukur keluarga, terutama ibunya memberikan restu, graduan jurusan Undang Undang & Pengurusan, Politeknik Temasek Singapura itu berkata, Atikah hadir ketika dirinya dalam fasa mahu berubah dan berhijrah.

"Segala-galanya bermula apabila saya ditimpa kemalangan yang hampir meragut nyawa. Dalam keadaan separuh sedar, pandangan saya terarah ke langit. Saya dengar surah Yasin dibacakan di telinga dan terus pengsan.

"Selama hampir setahun saya berehat dan trauma mengingatkan kejadian itu. Allah menjentik saya supaya berubah,” tuturnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Awi Rafael & Atikah Suhaime


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: