27 December 2018

SENIMAN MELAWAT MURALI ABDULLAH ATAS DASAR PRIHATIN


Pengarah drama terkenal, Murali Abdullah sebelum ini dimasukan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dirawat akibat serangan angin ahmar.





Menurut Presiden Seniman, Zed Zaidi, pihaknya menghantar Timbalan Presiden Seniman iaitu Zack Kool dan Bagio Damasutra mewakili persatuan untuk melawat Murali.

"Walaupun Murali Abdullah bukan ahli di bawah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman)... tetapi atas dasar keprihatinan terhadap penggiat seni, saya menghantar wakil untuk melawat dia di hospital.

"Bagaimanapun, tidak banyak yang Seniman boleh buat kerana dia (Murali) adalah ahli Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM). Saya yakin, FDAM lebih tahu kapasiti mereka dalam melaksanakan tanggungjawab," kata Zed.

Jelas Zed, dengan kunjungan itu dapatlah pihaknya mendengar masalah kesihatan yang dihidapi Murali.

"Untuk menghulurkan bantuan kewangan, bukan Seniman tidak mahu lakukannya tetapi masih ramai lagi ahli kami yang harus diberikan perhatian. Oleh itu, kami perlu mendahulukan kebajikan mereka.

Klik untuk gambar besar


"Selain itu, saya juga sebenarnya tidak mahu pandai-pandai buat kerja orang, sedangkan sudah ada pihak berwajib yang lebih bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan ahli dalam persatuan masing-masing.

"Saya tidak mahu nanti timbul pula isu lain pula kalau saya buat kerja mereka. Jadi cukuplah sekadar Seniman pergi menziarah saja," ujarnya.

Usaha Harian Metro mendapatkan kenyataan dari Presiden FDAM tidak berhasil kerana panggilan tidak berjawab. Difahamkan, beliau kurang sihat.

Sementara itu, Timbalan Presiden FDAM, Dr Mahadi J Murad yang dihubungi memberitahu pihaknya akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin.

Terdahulu, Murali meluahkan rasa kecewanya di Facebook dengan menyatakan tidak ada satu wakil pun dari 14 persatuan seni di Malaysia yang datang melawatnya mahupun bertanya khabar.

Murali dimasukkan di wad Neurologi HKL akibat terkena serangan angin ahmar di bahagian tangan dan kaki kanan sejak 28 November lalu.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Facebook Murali Abdullah


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: