22 January 2019

BABAK 'SENTUH' DI MV: "KEPUTUSAN DI TANGAN ADIRA" - NOVA MUSIC


Sebelum ini, suami kepada Adira iaitu Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu meluahkan kekesalan atas tindakan isteri keduanya, penyanyi Adira Suhaimi yang dikatakan tidak menghormati kedudukannya sebagai suami apabila memegang tangan model lelaki dalam video muzik lagu terbaru 'Pujaan Hati'.





Datuk Red menegaskan akan mengambil tindakan tegas, termasuk memadamkan klip berkenaan selepas peringatannya tidak dipedulikan.

Setelah hampir seminggu berlalu, Nova Music memaklumkan yang pihak mereka tidak menerima sebarang permintaan daripada Adira untuk memotong babak bersentuhan mahu pun memadam video muzik Pujaan Hati seperti digesa suami penyanyi itu.

Pengarah Urusannya, Rosmin Hashim, berkata mereka menghormati status Datuk Seri Adnan Abu sebagai suami, namun segala keputusan terletak di tangan Adira memandangkan kontrak rakaman dan pengurusan ditandatangani artis itu sendiri.

"Setakat ini pun, saya cuma maklum mengenai rasa kurang senang suaminya menerusi media. Dia tidak menghubungi saya atau pun wakil syarikat berhubung video muzik berkenaan.

Klik untuk gambar besar


"Apa pun gesaannya, kami tidak boleh memenuhi permintaan terbabit memandangkan ia disuarakan di laman sosial, bukan diajukan secara terus kepada Nova Music. Adira sendiri tidak membuka mulut berhubung perkara itu.

"Sebelum penggambaran, pengarah dan produksi sudah memperincikan setiap babak yang berkaitan dengan lagu baharunya, malah Adira menerima segala idea terbabit," katanya.

Sementara itu, Rosmin menjelaskan, isu lagu yang turut menjadi runut bunyi (OST) drama Pujaan Hati Kanda itu bukan bertujuan meraih publisiti, sebaliknya ia berlaku di luar jangkaan.

Pihaknya percaya, pasangan berkenaan dapat berbincang dengan matang bagi mencari penyelesaian supaya ia tidak berpanjangan.



"Bagi saya, ada jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul dan biarlah mereka berbincang kerana kami sekadar mengikut permintaan Adira.

"Sebelum melaksanakan setiap perkara, kami selaku syarikat pengurusan perlu merujuk dulu pendapatnya, termasuk sebelum penggambaran dibuat, awal tahun ini.

"Seperti dipinta Adira ketika pelancaran Pujaan Hati, dia enggan lagi terbabit dalam kontroversi dan inilah juga harapan Nova Music selaku syarikat yang memayungi kerjaya seninya," ujarnya.

Setakat ini, video muzik yang menelan kos RM15,000 itu sudah mencecah tontonan hampir 250,000 kali selepas seminggu dikongsi di YouTube, manakala video lirik yang dimuat naik sebulan lalu meraih 1.3 juta tontonan.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Adira Suhaimi & dinar_jengka_


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: