14 January 2019

"BIARLAH SAYA & ISTERI SAHAJA MENGETAHUINYA" - TAUKE USAHA PUJUK


"Sebenarnya, memang ada sedikit salah faham antara saya dan isteri. Saya akui perkara tersebut. Buat masa sekarang, saya tidak dapat selesaikan perkara ini secara menyeluruh kerana kami tinggal berjauhan.





"Boleh dikatakan, ada pihak ketiga yang tidak senang melihat kami bersama. Isteri pula baru lepas habis pantang dan emosinya tidak stabil. Itu pun saya faham. Apa yang berlaku sekarang amat menyedihkan.

"Kami tidak duduk serumah dan saya berharap semua ini dapat diselesaikan dengan cara baik dan aman," kata pelawak Tauke Jambu yang mendedahkan, dia kini dalam proses untuk menyelamatkan perkahwinannya dan mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua orang.

Tauke berkata rumah tangganya bersama isterinya, Nadia Mohd. Efendi, kini sedang teruji dan dia perlu menanganinya masalah tersebut dengan tanggungjawab yang tinggi.

Laut mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Perumpamaan tersebut barangkali cocok untuk menggambarkan kemelut rumah tangga yang melanda pelawak Tauke dan isterinya, Nadia Mohd. Efendi.

Masakan tidak, tiada angin tiada ribut, pada 5 Januari lalu, tiba-tiba sahaja isterinya itu menerusi laman sosial, mendakwa telah bercerai dengan Tauke atau nama penuhnya, Zamratul Amri Zakaria, 42.

Seperkara lagi, semalam menerusi laman Istagram, Nadia turut meluahkan kekesalan dan mengakui telah bertindak mengikut perasaan.

Klik untuk gambar besar


Dalam status tersebut, Nadia turut meminta agar peminat berhenti mengecam atau menuding jari terhadap Tauke atas apa yang terjadi dalam rumah tangga mereka.

Ditanya adakah dirinya sudah berbincang secara baik dengan isteri untuk meredakan masalah yang berlaku dan ada sebarang usaha daripada Tauke untuk memujuknya agar keadaan kembali seperti sediakala.... Ini kata Tauke:

"Biarpun dilanda ujian, kami masih lagi berhubung. Itu tanggungjawab saya sebagai seorang suami. Saya harus meredakan kemelut yang berlaku tanpa diduga ini. Saya faham, isteri sedang dalam keadaan yang memerlukan.

"Telinganya nipis dan mudah termakan hasutan orang luar. Orang perempuan mudah marah dan apabila dia marah, dia akan melakukan apa sahaja. Sebagai seorang lelaki dan suami, saya bertanggungjawab untuk membetulkan apa yang berlaku.

"Ada. Rasanya biarlah saya dan isteri sahaja mengetahuinya. Keadaan kami sekarang sudah semakin okey dan saya tidak mahu terlalu mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya dijadikan bahan perbualan orang luar," tuturnya.

Dalam pada itu, Tauke diminta memberi respon mengenai segelintir pihak seperti meletakkan setiap permasalahan sekarang berpunca daripada dirinya.



"Ini yang saya suka sifat netizen. Mereka penyayang dan tidak boleh melihat orang lain dianiaya. Ada yang menyokong, menghina mencari dan sebagainya.

"Saya pun perlu membela diri. Nasihat saya, jika ingin beri pandangan, tiada masalah tetapi jangan main sedap tangan dan komen sesuka hati.

"Saya pun tidak tahu kalau pihak yang sedap tulis komen itu pergi dulu dan saya tidak sempat maafkan, bagaimana? Kita hidup bukannya lama dalam dunia ini. Jadi kalau ingin menuduh sebarangan, sila berhati-hati," ujarnya.

Berhubung perkhabaran kononnya dirinya ingin menyaman pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Sultan Melaka, Tauke tampil jelaskan:

"Saya okey apabila ada wartawan atau penulis blog yang mensensasikan berita kemelut rumah tangga saya. Bagaimanapun, Sultan Melaka ini menggunakan ayat yang kurang menyenangkan hati.

"Maksud saya, kalau mahu tulis, silakan tetapi jangan menghina atau mencaci saya. Itu salah dan sekali gus menjadi pencetus kebencian dan fitnah dalam kalangan netizen.

"Sebagai manusia, menjadi tanggungjawab kita untuk menegakkan sesuatu perkara yang difikirkan benar. Dia telah menghina dan mencaci, sedangkan saya juga manusia biasa yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: