14 January 2019

JERNIHKAN HUBUNGAN KELUARGA, TUNANG - SUFI TUNGGU MASA SESUAI


"Tunggulah apabila keadaan sudah tenang dan tiada lagi muat naik status negatif, saya akan cuba memujuk mereka. Saya faham, apabila marah dan sedih, mungkin sukar untuk kita berfikir dengan matang.





"Saya juga tidak mahu mendesak keluarga untuk menyelesaikan masalah dengan segera. Namun, usaha menjernihkan hubungan tunang dan keluarga sentiasa ada. Kami sering memikirkan jalan untuk berbaik.

"Sekiranya usaha itu gagal, saya tidak terkilan kerana sekurang-kurangnya sudah mencuba," kata juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015), Sufi Rashid yang mengakui, dia memerlukan sedikit masa untuk menjernihkan kembali hubungan keluarganya dengan tunangnya, Nurulain Md Yusof.

Sufie, 28, berkata, ketika ini, dia masih menanti masa yang sesuai untuk melakukannya kerana tidak mahu mengusutkan lagi keadaan.

Klik untuk gambar besar


Sufie berkata, sebelum ini, hubungan keluarganya dan tunangnya amat rapat, malah sentiasa mengambil berat antara satu sama lain.

Malangnya, kata artis kelahiran Singapura itu, disebabkan isu yang tidak diduga, hubungan baik itu menjadi renggang.

"Saya mahu ikatan silaturahim antara kami sentiasa terpelihara," ujarnya ketika mengulas dakwaan pertunangannya dengan pengasas produk makanan itu tidak direstui keluarga.

Menyifatkan perkara itu sebagai dugaan dalam hidup, penyanyi Kisah Dua Muka itu berkata, dia yakin setiap keluarga mahukan yang terbaik untuk insan yang mereka sayangi.



"Apatah lagi, saya satu-satunya anak lelaki yang menjadi harapan keluarga. Apabila bertunang, ia seperti proses mahu berpisah dengan keluarga. Mungkin keluarga rasa saya mahu meninggalkan mereka, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku," tuturnya.

Tidak akan melupakan tanggungjawabnya sebagai anak lelaki, Sufie berkata, dia dan tunangnya sentiasa mendoakan supaya masalah itu dapat diselesaikan dengan baik, tanpa mengguris hati sesiapa.

Sufie berkata, dia juga tidak berkecil hati dengan pelbagai gelaran yang dilemparkan netizen sejak isu itu timbul kerana hanya dia dan keluarganya yang tahu cerita sebenar.

"Saya tidak kisah kerana netizen tidak faham. Saya pula tidak boleh buka mulut mendedahkan kisah yang terlalu peribadi untuk dikongsi. Apa saja ujian, saya tetap jaga maruah keluarga," jelasnya.








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Sufi Rashid


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: