27 January 2019

KRITIKAL DI ICU - ISTERI MOHON DOAKAN MAMAT KHALID KEMBALI SIHAT


"Menurut doktor, suami diletakkan dalam keadaan itu (koma) selama 48 jam bagi memberi rehat kepada jantung dan organ dalaman lain. Alhamdulillah, suami memberi tindak balas positif dan keadaan kesihatannya sedang dipantau rapi.





"Hanya itu ikhtiar kami dan saya bersyukur kerana dia diberikan rawatan yang terbaik," demikian kata Hasmah Hassan, isteri kepada pengarah terkenal, Mamat Khalid berhubung keadaan suaminya yang dimasukkan ke hospital, kelmarin dan kini diletakkan dalam keadaan koma bagi membolehkan organnya berehat.

Hasmah yang mesra dengan panggilan Intan itu berkata suaminya terpaksa ditidurkan sejak pagi semalam, namun memberikan tindak balas positif. Dalam masa sama, Hasmah turut meminta orang ramai supaya mendoakan suaminya kembali sihat.

"Insya-Allah, semangat juang suami saya kuat. Doakan kesejahteraannya dan saya sangat berterima kasih," tuturnya yang juga berharap supaya rakan taulan dapat memberi ruang kepada Mamat untuk berehat secukupnya semasa menerima rawatan ketika ini.

Klik untuk gambar besar


Untuk makluman, Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 56, dimasukkan ke hospital swasta di Petaling Jaya, kelmarin selepas mengadu sakit dada dan batuk. Mamat yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mamat sebelum ini, pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada April 2017 akibat kepenatan dan sesak nafas. Dia juga pernah menerima rawatan di hospital kerana masalah jantung tersumbat pada November 2014.

Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 itu terkenal menerusi karya-karya hebat seperti filem trilogi 'Hantu Kak Limah', 'Man Laksa', 'Zombi Kampung Pisang', 'Lebuhraya Ke Neraka' dan telefilem 'Rombongan Cik Kiah Sukan Komanwel'.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian, Astro Gempak, Astro Awani & Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: