29 January 2019

MASUK ICU - MAMAT KHALID MULA BERI REAKSI POSITIF


"Buat masa ini, doktor memaklumkan reaksinya terhadap ubat yang diberikan sangat baik, malah dia mula sedar dan menggerakkan bahagian kaki.





"Dos memang sengaja dikurangkan untuk membolehkannya sedar kerana sebelum ini, dia ditidurkan seketika supaya jantungnya dapat berehat," kata isteri kepada pengarah Mamat Khalid, Hasmah Hassan berhubung perkembangan suaminya itu.

Hasmah memberitahu suaminya itu memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan sebaik sahaja dos ubat dikurangkan dengan menggerakkan kakinya.

Pengarah filem 'Hantu Kak Limah' itu yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Petaling Jaya, sejak Jumaat lalu sudah mula sedar dan memberikan maklum balas positif.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 56, berada dalam keadaan kritikal sejak Jumaat lalu akibat masalah paru-paru dan jantung. Beliau dimasukkan ke ICU dan ditidurkan selama 48 jam supaya dapat berehat bagi menstabilkan jantungnya.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, Hasmah yang mesra disapa Kak Intan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kenalan dan orang ramai yang mendoakan kesejahteraan suaminya.

"Alhamdulillah, ramai yang bertanya khabar dan mengadakan solat hajat serta bacaan Yasin di beberapa masjid. Doktor masih memantau keadaannya. Setakat ini, pihak hospital belum membenarkan pelawat menziarahinya kerana dia perlu berehat secukupnya," jelasnya.

Mamat, pada April 2017 pernah dimasukkan ke ICU akibat kepenatan dan sesak nafas selepas tayangan filem, Lebuhraya ke Neraka.

Tiga tahun sebelumnya, sutradara yang dihormati ramai itu menjalani pembedahan kecil membuka saluran darah yang tersumbat berikutan masalah jantung.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: