15 January 2019

SUAMI KINI IZINKAN BERLAKON - HANEZ SURAYA TERPAKSA TANGGUH


Mengakui pernah menangis kerana terlalu merindui dunia lakonan yang ditinggalkan hampir lima tahun, pelakon Hanez Suraya, 33, berkata yang sebelum ini, suaminya keberatan memberi izin untuk dia kembali aktif kerana tidak begitu memahami perjalanan kerjaya pelakon.





"Sejak berumah tangga sehingga sekarang, saya belum kembali berlakon kerana suami tidak izinkan. Dia tidak faham mengapa pelakon perlu bersentuhan dan melakukan aksi itu ini.

"Namun, apabila dijelaskan, berlakon sekarang sudah tidak seperti dulu, dia mula faham. Suami tidak menghalang sekiranya saya mahu kembali aktif dengan syarat saya perlu menjaga batas sebagai isteri," katanya.

Hanez berkata, dia ingin mencuba karakter yang lebih mencabar dan tidak pernah dibawanya sebelum ini. Antara karakter yang menjadi impiannya adalah wanita psiko kerana Hanez mahu kemunculan terbarunya berbeza daripada apa yang pernah dilakukannya sebelum berehat sementara.

Klik untuk gambar besar


Biarpun sudah mendapat 'lampu hijau' suami, Hanez berkata, hasrat itu terpaksa ditangguhkan memandangkan dia sedang hamil empat bulan anak kedua.

"Saya cakap kepada suami, sebagai permulaan, izinkan saya berlakon sekurang-kurangnya satu telefilem untuk melepaskan rindu.

"Alhamdulillah, biarpun sudah lama menyepi dan pernah jatuh, orang masih ingat saya sebagai pelakon apabila aktif di media sosial. Tetapi, nampaknya saya terpaksa tangguhkan lagi hasrat itu kerana sedang hamil," ujarnya.



Masih menerima tawaran berlakon, Hanez bersyukur, rezekinya murah apabila ditawarkan menjadi duta produk kecantikan selama setahun.

"Saya pernah bergurau dengan suami minta dia melabur dalam drama atau telefilem supaya saya boleh kembali berlakon.

"Saya minta dia carikan skrip yang bagus, tetapi watak yang ditawarkan harus bersesuaian dengan status dan penampilan saya sekarang," tuturnya.

Untuk makluman, Hanez mendirikan rumah tangga dengan Romie Razin Adilha Abd Rais pada Mac 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Aleesya, 4.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: