19 February 2019

23 HARI MELALUI DETIK KRITIKAL - MAMAT KHALID KINI SEMAKIN PULIH


Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid kini dilaporkan semakin pulih selepas melalui detik kritikal selama 23 hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Jantung (CCU), sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.





Menurut isterinya, Hasmah Hassan, pengarah filem 'Hantu Kak Limah' itu juga sudah mula bercakap walaupun masih meneruskan rawatan termasuk menjalani fisioterapi. Mamat juga akan dipindahkan ke wad biasa dalam tempoh terdekat.

"Buat masa ini abang (Mamat) semakin pulih. Dia sudah mula sedar sejak hari ke-18 (minggu lalu) dan bercakap sejak lima hari lalu (Khamis). Alhamdulillah, dia sudah okey cuma pengaruh ubat-ubatan membuatkan percakapan dan pergerakannya terbatas," jelas Hasmah.

Hasmah yang mesra dibahasakan Kak Intan itu menambah, buat masa ini doktor masih tidak menyarankan pengarah berusia 56 tahun itu menerima pelawat kerana perlu banyak berehat.

Terdahulu, pengarah prolifik yang pernah menghasilkan filem trilogi 'Rock' itu dimasukkan Unit Rawatan Rapi pada 25 Januari lalu akibat masalah paru-paru dan jantung. Sehari kemudian, Mamat dikomakan selama 48 jam bagi memastikan jantungnya kembali stabil.

Sebelum ini, bapa lima cahaya mata itu pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sekitar 2017 kerana sesak nafas selepas majlis tayangan perdana filem arahannya, Lebuh Raya Ke Neraka.

Tiga tahun sebelumnya, Mamat pernah menjalani pembedahan kecil membuka saluran darah yang tersumbat kerana masalah jantung di hospital sama beliau dirawat ketika ini.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: