20 February 2019
FARID KAMIL AKUI TERLALU PENAT NAIK TURUN MAHKAMAH
Semua mengetahui mengenai kes yang melanda pelakon Datuk Farid Kamil sekitar setahun lalu sehingga ditahan reman atas empat pertuduhan.
Beliau berdepan empat tuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara.
Farid yang membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, bagaimanapun terpaksa melalui pengalaman pahit meringkuk di dalam lokap bagi membantu siasatan.
Landskap kehidupan pemilik nama sebenar Farid Kamil Zahari, 38, nyata berubah selepas dirinya dihantui kesemua kes berkenaan.
Bukan sahaja terpaksa menangguhkan hasrat untuk menyambung pengajian bersama isteri ke luar negara, Farid juga perlu komited untuk menghadiri mahkamah apabila perbicaraan bermula kelak.
Klik untuk gambar besar
Tanpa berselindung mengakui pengalaman tersebut merupakan sebahagian daripada memori hitam dalam hidupnya, suami kepada aktres Diana Danielle itu meluahkan segala yang terbuku sepanjang melalui pengalaman perit dalam hidupnya.
Setelah setahun dihambat kontroversi dan berdepan perbicaraan, Farid ditanya mengenai kehidupannya pada ketika ini dan bagaimana proses pendakwaan mahkamah pada ketika ini, ini jelas Farid:
"(Sambil melepaskan hela panjang). Sukar untuk saya lupakan perkara yang terjadi dalam hidup saya. Saya yakin tidak akan pernah melupakan pengalaman pahit itu selagi hidup.
"Sekarang saya masih dalam perbicaraan. Kami telah memohon penangguhan tarikh memandangkan peguam bela yang mewakili saya dalam kes ini masih belum sembuh (selepas mengalami kemalangan). Saya amat berharap proses perbicaraan berjalan dengan lancar.
"Saya terlalu penat untuk melalui proses naik turun mahkamah. Malah, akibat kes ini banyak urusan peribadi dan kerjaya seni telah tergendala. Seperti ramai sedia maklum, saya dan Diana merancang untuk menyambung pengajian ke luar negara.
"Agenda ini akan tergendala sehingga proses perbicaraan selesai. Sekiranya gagal untuk mendapatkan pasport, saya terpaksa membenarkan Diana sahaja ke luar negara untuk meneruskan pengajian," katanya.
Mengulas mengenai menyambung pengajian ke luar negara, difahamkan Farid dan isterinya, pelakon Diana Daniella itu bercadang ke Los Angeles, Amerika Syarikat. Ditanya mengenai perancangan tersebut, Farid berkata mereka membuat keputusan untuk menyambung pengajian di Australia.
"Setelah membuat pertimbangan daripada pelbagai sudut terutama kos dan persekitaran, kami membuat keputusan untuk menyambung pengajian di Australia.
"Kami telah mengenal pasti sebuah akademi seni di Gold Coast. Setakat ini, kami belum mempunyai tarikh khusus. Semuanya bergantung juga dengan permohonan saya untuk mendapatkan pasport yang masih ditahan.
www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo & Instagram Farid Kamil
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment