20 February 2019

ISU FITNAH GUNA 'BOMOH' - SITI SARAH MAHU TEMUI MISHA OMAR


Berhubung isu ahli kelab peminatnya yang didakwa memfitnah pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) itu menggunakan Mak Esah (Bomoh) bagi memenangi pertandingan tersebut, penyanyi terkenal, Siti Sarah Raissuddin berhasrat mengadakan pertemuan empat mata dengan penyanyi Misha Omar.





Sarah berkata, sebagai rakan selebriti, dia terpanggil untuk bertemu penyanyi itu dalam masa terdekat bagi menjernihkan keadaan. Ditanya bagaimana hubungannya dengan penyanyi 'Sampai Bila' itu selepas insiden terbabit, Sarah yang juga isteri kepada pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuib berkata, semuanya baik-baik saja.

"Walaupun tidak mempunyai kaitan dalam isu itu, saya rasa wajar untuk bertemu Misha memandangkan kami akan bekerjasama dalam sebuah konsert pada April ini. Setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan isu ini. Misha ada caranya dan saya pula mengambil pendekatan ini bagi menjernihkan keadaan.

"Bagi Sarah, apa yang terjadi adalah antara individu terbabit dengan Misha. Cuma, nama saya terheret sama memandangkan individu terbabit adalah ahli kelab peminat saya iaitu Hearty Sarah," kata penyanyi berusia 35 tahun yang popular dengan lagu 'Semakin' itu.

Klik untuk gambar besar


Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia merancang berbuat demikian kerana menganggap isu berkenaan sebagai masalah yang terbit antara peminat.

"Sejujurnya, saya tidak mengetahui hal ini sehinggalah sehari sebelum Misha Omar melangsungkan sidang akhbar. Apapun, saya tetap akan berjumpa dengannya secara empat mata dan berbincang lanjut mengenai perkara ini," jelasnya.

Pada pertemuan petang tadi, Sarah turut menafikan dakwaan kekalahannya pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33) pada 3 Februari lalu disebabkan oleh ilmu hitam.



"Dakwaan itu tidak benar kerana saya tewas disebabkan beberapa perancangan awal tidak menjadi seperti yang diharapkan, terutama dari segi nyanyian. Saya akui, nyanyian saya lebih baik ketika sesi latihan berbanding pada malam kemuncak," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Misha pada satu sidang media memberi peringatan kepada beberapa individu yang menuduhnya menggunakan sihir untuk bersemuka dengannya dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan susulan.

Setakat ini, dua individu mengakui kesilapan mereka dan menerusi peguam penyanyi itu, meluahkan hasrat bertemu Misha untuk memohon maaf seperti diminta.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: