13 February 2019
JANTUNG TERHENTI 10 MINIT - PEMBEDAHAN ANAK LANA DITANGGUHKAN
Ketika doktor membuat persediaan memulakan pembedahan membetulkan injap jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, petang semalam, pelakon Lana Nodin dan suami berdepan detik cemas apabila jantung bayi mereka, William Daud McKienzie terhenti 10 minit.
Berikutan itu, Lana memberitahu, anaknya yang dikesan mengalami masalah injap atau aortic stenosis sejak dilahirkan dua bulan lalu, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan pembedahan ditangguhkan antara dua hingga tiga hari lagi.
"Prosedur pembedahan terpaksa ditangguhkan. Sekarang anak saya ditempatkan di ICU. Agak berat untuk saya cakap, masa beri bius tadi (petang tadi), jantungnya terhenti kira-kira 10 minit. Doktor beritahu jantungnya 'terkejut'.
"Kemudian doktor beri bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR), namun selepas tiada tindak balas, kaedah defibrilasi iaitu kejutan elektrik pula digunakan. Alhamdulillah, jantung anak saya kembali berdetak.
"Namun, anak saya perlu ditempatkan di ICU untuk melihat perkembangannya dan pemantauan dalam tempoh 48 jam," kata Lana menerusi perkongsian video di Instagram (IG) Story.
Klik untuk gambar besar
William Daud Mckienzie atau dipanggil Billy, dimasukkan ke IJN sejak semalam bagi menjalani pembedahan membetulkan injap jantung yang sepatutnya dilakukan, petang tadi.
Sementara itu, Lana yang tidak mampu menahan air mata daripada terus mengalir, memohon orang ramai mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Billy.
"Minta maaf kalau saya ada buat salah apa-apa. Tolong doakanlah anak saya. Insya-Allah, tengahari esok saya dapat berjumpa Billy. Hari ini doktor nak bagi dia berehat sepenuhnya," tuturnya.
Untuk makluman, Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nodin, 39, mendirikan rumah tangga dengan David atau nama Islamnya, Mohd Daud Mckinzie pada 15 Mei 2015. Pasangan itu dikurniakan anak sulung, Gia Quinn McKienzie yang berusia 2 tahun.
ATAU KLIK DISINI UNTUK TONTON VIDEO
www.myartis.com / Sumber, foto & video: Berita Harian & Beautifulnara
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment