21 February 2019
PIHAK YANG TERASA - DRAMA BAND MINTA MAAF, TIADA NIAT MENYINDIR
Memohon maaf kepada pihak yang terasa hati dengan jalan cerita dipaparkan dalam muzik video lagu terbaru mereka berjudul, 'Drama', vokalis kumpulan Drama Band, Aepul Roza berkata, Drama Band tidak berniat untuk menyindir mana-mana rakan selebriti, sebaliknya menegaskan jalan cerita dalam muzik video itu adalah rekaan semata-mata.
"Kalau ada yang terasa hati, kami minta maaf. Niat kami hanya untuk menyampaikan cerita, namun peminat beranggapan ia berkait rapat dengan kontroversi yang pernah melanda industri hiburan.
"Kami tahu ramai yang kurang senang dengan paparan dalam klip video ini. Saya ingin tegaskan lagi, kami tidak menggunakan isu kontroversi sebagai modal untuk mempromosikan lagu ini," katanya.
Sejak melancarkan muzik video lagu itu pada 15 Februari lalu, Drama Band 'diserang' netizen yang mempertikai jalan cerita dipaparkan seperti mempersenda beberapa selebriti yang pernah berdepan kontroversi.
Muzik video itu mendapat perhatian bekas juara Dewi Remaja 2018/2019, Haneesya Hanee dan penyanyi, Haqiem Rusli yang mengakui, terkesan dengan babak dipaparkan.
Malah, segelintir netizen mengecam tindakan kumpulan itu yang disifatkan seperti sengaja menangguk di air keruh untuk meraih publisiti murahan dengan menggunakan kontroversi artis lain.
Aepul berkata, jika diamati secara teliti, muzik video itu mempunyai mesej tersendiri menerusi karakter badut yang cuba menutup keburukannya dengan menggunakan watak sensasi di sekelilingnya.
"Orang tidak sedar keburukannya kerana terlalu memberi fokus kepada 'gangguan' iaitu isu panas yang diperkatakan. Masyarakat tidak nampak peranan badut itu yang cuba mengelirukan kerana lebih tertumpu kepada kisah sensasi," ujarnya.
Aepul berkata, walaupun mendapat pelbagai maklum balas, mereka tetap bersyukur kerana lagu itu menerima sambutan positif peminat di YouTube.
"Biarpun dikecam, ramai yang memberikan komen, mereka suka dengan lagu itu. Tidak kurang yang menyifatkan, mesej lagu kami menarik, cuma tidak selesa dengan konsep muzik video. Tidak mengapa, kami terbuka dengan kritikan," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber: Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment