21 February 2019

DUA PENYEBAR FITNAH MOHON MAAF TERBUKA - MISHA OMAR TERIMA, LEGA


"Saya berasa lega apabila dua individu terbabit berani tampil untuk mengaku kesilapan mereka selepas tempoh tujuh hari yang diberikan oleh saya. Ini merupakan pengalaman baru saya sebagai anak seni dan berterima kasih kepada kedua peguam yang membuat kerja mereka dengan baik sekali.





"Namun ada seorang lagi pemilik akaun belum membuat permohonan maaf namun difahamkan pemilik akaun tersebut telah memadam akaunnya. Pada malam ini, saya akan ke balai polis untuk menarik balik report yang dilakukan sebelum ini dan akan membuat satu report polis khas untuk pengguna akaun Twitter berkenaan.

"Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan berharap agar netizen dapat berfikir dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan di media sosial," kata penyanyi Misha Omar ketika ditemui di sidang media tergempar di KL Eco City Mall, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, hari ini.

Misha mengakui lega apabila individu yang menabur fitnah dan menuduh dirinya menggunakan 'mak esah' atau ilmu sihir untuk memenangi Anugerah Juara Lagu yang ke-33 (AJL 33) menerusi lagu 'Sampai Bila' telah tampil memohon maaf secara terbuka.

Menurut Misha, dia menganggap kes tersebut telah selesai selepas dua individu tampil memohon maaf namun akan mengambil tindakan selanjutnya kepada seorang lagi penguna Twitter.

Klik untuk gambar besar


Turut hadir bersama Misha ialah wakil peguam Abi Mursyidin Awal dan Ahmad Fuad Hasim dari Amelda Fuad Abi & Aidil. Dua individu yang tampil memohon maaf adalah Ahmad Azhar Aziz, 27, dan Fairuz Azwan Akhir Sepian, 32, turut tampil pada sidang media ini.

Kedua-dua individu berkenaan hadir secara sukarela turut menandatangani surat permohonan maaf disaksikan kedua-dua peguam Misha atau nama sebenarnya, Samihah @ Aisah Omar, 37.

Sebelum ini, Misha membuat laporan polis terhadap sesetengah individu yang menaburkan fitnah dan menuduh dirinya menggunakan 'mak esah' atau ilmu sihir untuk memenangi Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) menerusi lagu 'Sampai Bila'.

Misha memberi tempoh tujuh hari kepada beberapa individu yang menyebarkan fitnah kepadanya untuk memohon maaf tanpa syarat.

Lagu 'Sampai Bila' ciptaan Sharon Paul, Ahmad Fedtri Yanya dan Shah Shamshiri meraih tempat ketiga di AJL33 manakala Misha turut menggondol trofi Vokal Terbaik di pertandingan tersebut.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: