06 February 2019

SEJAK TIGA HARI LALU - EMMA MAEMBONG SAHKAN TAK LAGI BERTUDUNG


"Apa juga alasannya, saya mengaku khilaf ini datang daripada diri sendiri. Soal dosa dan pahala itu biarlah antara diri ini dengan Tuhan. Selepas ini, saya harus telan segala kecaman dengan lapang dada.





"Untuk kita istiqamah dalam bertudung bukan perkara mudah. Pasti ada ujian yang menjelma. Jika tidak betul-betul bersedia, pasti terumbang-ambing juga iman diri.

"Ia (tindakan membuka tudung) bukan contoh yang baik dan jangan ikut saya. Cuma dalam tempoh bertudung itu, bukan saya tidak mencuba untuk membulatkan hati. Namun, saat saya tewas dan perkara itu tular.

"Hukuman bertalu-talu datang, tetapi saya terima dengan hati terbuka," kata pelakon, Emma Maembong yang mengesahkan dirinya tidak lagi bertudung sejak tiga hari lalu selepas hampir lima tahun berhijab.

Bahkan, peminat juga mula bergambar dan merakam video bersama Emma dengan imej baharunya itu di tempat awam.

Klik untuk gambar besar


Membuat pengakuan berkenaan secara eksklusif kepada BH Online, pelakon itu menegaskan, tindakan dilakukannya itu bukanlah contoh yang baik.

Katanya, ia juga tidak kaitan dengan kontroversi melanda dirinya, baru-baru ini, sekali gus membuat permohonan maaf dan mengakui khilafnya apabila gambar mesra tanpa tudung bersama seorang jejaka tular di media sosial.

Mengakui imannya belum kukuh, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 27, selesa membiarkan keputusan yang dilakukan dengan berat hati itu ditanggung sendiri.

Menurut pelakon berdarah campuran yang dikenali menerusi drama 'Kau Yang Terindah' itu, dia mula mengenakan tudung secara suka-suka dengan memakai selendang di leher.

"Cara saya mengenakan selendang di leher dulu juga pantas dikecam netizen. Ada yang cakap, lebih baik bertudung penuh dan sempurna. Sedikit demi sedikit, saya mencuba untuk bertudung.



"Ketika itu, saya cuba bermuhasabah dan memperbetulkan diri. Selepas saya mula bertudung dulu pun, seperti biasa cara berpakaian dan mengenakan tudung itu juga terus mengundang kritikan.

"Semua benda bagai serba tak kena. Benar, susah untuk saya memuaskan diri orang lain. Saya seperti berperang dengan diri sendiri. Tetapi, saya lawan segala perasaan negatif.

"Namun, saat hanyut dengan kekhilafan diri, baru-baru ini. Saya terus dihukum seperti mempermainkan agama. Mereka yang memberi komen pedas itu pula seolah-olah mendapat jaminan masuk ke syurga.

"Malah ada yang cakap, apabila sudah 'kantoi', baru nak minta maaf. Saya akur, diri ini manusia biasa yang tak pernah sempurna," tuturnya.



Menjawab pertanyaan apakah dia memakai hijab kerana mengusahakan perniagaan tudung, Emma menafikan sekeras-kerasnya perkara itu.

"Perniagaan tudung dibuat ketika saya belum lagi menutup kepala. Secara peribadi, saya suka membeli tudung dan selendang, malah mempunyai sedikit bakat melukis, termasuk menjadikan tudung sebagai kanvas lukisan," katanya.

Tambah Emma, agak berat bagi ahli keluarga menerima keputusannya untuk tidak lagi berhijab.

"Cuma, mereka akur dan tahu apa yang saya lalui selama ini. Mereka lihat dengan mata sendiri segala episod jatuh bangun dan 'sakit' saya menjadi anak seni.

"Mereka bukanlah menggalakkan saya tidak bertudung, tetapi dalam masa sama, berharap supaya suatu hari nanti saya akan kembali istiqamah," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Emma Maembong


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: