06 February 2019

SERING DIAJU SOALAN ZURIAT - ELIZAD AKUI TERTEKAN, EMOSI TERGANGGU


"Pada awal perkahwinan, saya masih senyum dan menganggap setiap pertanyaan sebagai doa, tetapi kini saya terasa ia seperti sindiran. Kadang-kadang, saya terasa juga apabila ada yang bercerita soal anak... Tidak perasankah saya berada di situ? Saya jadi sensitif dengan situasi sebegitu.





"Apabila melihat wanita mengandung pula, saya tertanya-tanya, kenapa bukan saya yang berbadan dua? Apa sahaja yang saya inginkan selama ini, semuanya dalam genggaman. Namun, permintaan yang satu ini nyata bukan kerja kita, biarpun sudah berusaha sedaya yang ada.

"Saya lebih tertekan apabila ada yang melemparkan tanggapan saya tidak berusaha mendapatkan anak, sedangkan sudah lama berkahwin," demikian kata pelakon Siti Elizad, 35, dengan nada sebak.

Tiada lagi senyuman manis apabila persoalan mengenai zuriat diajukan kepadanya, Elizad menganggap sindiran dan gurauan segelintir pihak berhubung perkara itu umpama menghunus pedang buatnya.

Sudah tertulis, Elizad dan suaminya, Shamsul Baharin Rahman, 47, belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata, biarpun segala usaha dilakukan sepanjang empat tahun mereka mendirikan rumah tangga.

Hati mana yang tidak tersentuh apabila melihat adik-beradik dan sanak saudara seronok melayan keletah serta mengendong anak kecil masing-masing? Mereka pula hanya mampu berdoa dan berusaha tanpa ada putus asa.

Klik untuk gambar besar


Jika dulu, pelakon yang diperkenalkan menerusi filem, 'Berlari Ke Langit', itu masih boleh bermanis muka apabila diajukan persoalan zuriat, tetapi kini dia menjadi semakin sensitif dan beremosi dalam bab berkenaan.

Katanya, dia tidak pernah merancang, malah sentiasa berusaha dengan mendapatkan rawatan kesuburan dan tradisional sejak dulu lagi. Bagaimanapun, ramai yang menganggapnya seperti tidak berminat untuk hamil.

"Asakan orang sekeliling membuatkan saya tertekan. Sindiran mereka membuatkan saya amat terasa. Saya dididik untuk bercakap dengan menjaga hati orang, biarpun saya seorang yang kelihatan lasak dan kasar.

"Apabila bergurau atau bertanya soalan, saya tidak sesuka hati membalas balik. Bagi saya, lebih baik mereka mendoakan saya daripada menyindir," ujarnya.

Kongsi Elizad, ada yang menyindir dengan mengatakan suaminya mampu mendapatkan zuriat daripada perkahwinan terdahulu, namun bukan dengan dirinya.



"Apa mereka rasa jika tidak dapat mengandung seperti saya? Kalau nak bercakap, pandanglah kiri dan kanan dulu. Saya boleh menerima gurauan kasar, tetapi bukan sindiran sebegini," tuturnya.

Elizad berkata, wajahnya akan berubah jika ada yang bertanya soal anak. Juara program realiti, Gempak Superstar itu turut memberitahu, dia pernah menangis ketika beraya di rumah sanak saudara pada Aidilfitri lalu.

"Apabila orang bertanya, muka saya akan terus berubah. Saya tidak mampu maniskan muka lagi. Jujurnya, saya pun tiada jawapannya apabila ditanya soal berkenaan. Semuanya kehendak Allah. Mereka pula hanya tahu bercakap, tetapi tidak mengalaminya.

"Saya akui, apabila kerap diajukan pertanyaan mengenai anak, saya jadi murung dan beremosi. Rasa seperti dihunus pisau, begitulah pedihnya perasaan saya," jelasnya.

Pelakon yang mencipta populariti menerusi drama 'Teman Lelaki Upahan', 'Si Kolot Suamiku' dan 'Papa Ricky' itu berkata, dia sering termenung memikirkan di mana salah dan silapnya?



"Orang luar tidak tahu betapa beremosi wanita yang ingin mendapatkan zuriat seperti saya. Lebih-lebih lagi kita sudah berusaha, tetapi akhirnya datang bulan. Saya pernah duduk termenung dalam tandas apabila datang bulan... Ia bermakna usaha saya tidak menjadi.

"Saya sudah puas berusaha, namun takkan berputus asa. Bukan hanya bertemu doktor pakar, malah saya juga mencuba kaedah urutan dan perubatan tradisional," katanya.

Katanya, setiap kali terdengar cerita mengenai tempat urut yang dirasakan bagus, dia tidak terlepas mencubanya.

"Saya sanggup memandu ke Johor Bahru dan Kuala Terengganu. Malah, saya juga makan ubat tradisional sampai pening, loya dan tiada 'mood'.

"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada netizen yang berkongsi pelbagai petua dengan saya. Saya cuba semuanya, tetapi belum ada hasil," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Siti Elizad


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: