21 March 2019

BERCERAI SELEPAS 17 TAHUN: "BIARLAH KAMI SAHAJA TAHU" - VANIDAH IMRAN


"Segala apa yang berlaku ada sebabnya. Demikian juga rumah tangga saya dengan Shidi. Sudah tentu perkara ini (perceraian) berlaku kerana ada sebab-sebab yang biarlah kami sahaja yang tahu.





"Saya fikir adalah tidak manis untuk saya berkongsi punca perceraian kerana mendedahkan hal itu seperti membuka aib kami berdua," demikian kata aktres Vanidah Imran selepas pelakon Rashidi Ishak mengumumkan beliau sudah bercerai dengannya pada 9 Ogos tahun lalu selepas 17 tahun melayari bahtera perkahwinan.

Vanidah memberitahu tidak berlaku sebarang pertengkaran antara dia dan Rashidi yang akhirnya membawa kepada keruntuhan rumah tangga mereka. Dalam masa sama, Vanidah berkata, dia sedar bahawa perceraian bukan sesuatu yang disukai di dalam agama, namun memahami bahawa perpisahan juga dibolehkan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu.

Sebelum ini, khabar angin mengenai perceraian mereka sudah lama diperkatakan tetapi kedua-duanya enggan memberikan sebarang komen. Berita itu membuatkan ramai peminat terkejut yang selama ini melabelkan Rashidi dan Vanidah sebagai pasangan artis paling 'sweet' serta jarang terpalit dengan kontroversi.

Perkara itu didedahkan oleh Rashidi sendiri menerusi akaun Instagramnya malam kelmarin. Menurut Rashidi, dia terpaksa merahsiakan perkara itu demi menghormati keluarga kedua-dua belah pihak selain mahu menjaga privasi.

Klik untuk gambar besar


"Pada 9 Ogos 2018, saya dan Vanidah telah menfailkan pembubaran perkahwinan kami. Secara rasmi di hadapan hakim di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, kami menamatkan perkahwinan selama 17 tahun dengan rasa hormat dan persefahaman," jelasnya.

Rashidi yang berkahwin dengan Vanidah pada 1 Oktober 2000 serta dikurniakan dua cahaya mata, Mikhail Imran dan Mariyam Rashika itu turut mengakui kelemahannya sebagai ketua keluarga dalam memimpin rumah tangga antara punca perceraian mereka.

"Pentadbiran yang gagal dalam mana-mana institusi adalah disebabkan oleh kepimpinan yang lemah dan tidak cekap. Dalam perkahwinan kesalahan keruntuhan pasangan adalah terletak pada Imam. Saya bukan sama sekali seorang Imam yang baik," tulisnya.

Vanidah atau lebih mesra disapa Vee berkata, tiada sebarang pertengkaran berlaku antara beliau dan Rashidi sehingga membawa kepada keruntuhan rumah tangga mereka dan menjelaskan perpisahan mereka dibuat secara baik.



Walaupun sudah tiada lagi ikatan antara mereka, Vanidah dan Rashidi masih mempunyai hubungan yang baik demi kebaikan anak-anak mereka. Tiada permusuhan dan akan terus bersahabat.

"Seperti yang saya katakan, kami bercerai cara elok, tiada pergaduhan. Kata sepakat dicapai selepas perbincangan yang panjang. Demi masa depan anak-anak, kami sepakat untuk tidak bersengketa.

"Bahkan, saya dan Shidi akan terus bersahabat. Itu ikrar kami," ujar Vanidah yang sudah mula menerima ketentuan bahawa jodohnya dengan Rashidi hanya bertahan setakat itu sahaja.

Sudah tertulis jodoh mereka sampai di sini sahaja dan kami sangat respek dengan keputusan Rashidi dan Vanidah yang masih boleh mengekalkan hubungan baik meskipun sudah bercerai. Kita doakan yang baik-baik sahaja buat mereka agar keharmonian itu dapat berkekalan selamanya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Awani, Beautifulnara & Instagram Rashidi Ishak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: