05 March 2019
BERSALIN MAC INI - PUTERI SARAH & SYAMSUL YUSOF BAKAL TIMANG 'BABY GIRL'
Isteri kepada pengarah terkenal Syamsul Yusof iaitu pelakon Puteri Sarah memaklumkan bahawa dirinya dijangka bakal melahirkan anak keduanya yang merupakan perempuan pada 19 Mac ini selain mengucapkan syukur di atas rezeki tersebut dan berharap proses bersalin kelak akan dipermudahkan.
Dalam pada itu, Puteri Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat, 34, memberitahu dia juga berharap dapar bersalin secara normal memandangkan ketika anak pertama dilahirkan secara pembedahan. Bagaimanapun, dia mengikut sahaja apa yang terbaik seperti yang disarankan oleh doktor.
"Alhamdulillah, ini rezeki buat kami sekeluarga. Gembira dan syukur apabila doktor mengesahkan saya hamil anak perempuan. Insya-Allah, jika segalanya dipermudahkan cukup sepasang anak kami.
"Kalau boleh berharap sangat dapat bersalin secara normal. Apatah lagi anak pertama dulu dilahirkan secara pembedahan. Namun, saya berserah dan ikut saja apa yang terbaik menurut pandangan doktor," katanya.
Klik untuk gambar besar
Berkongsikan pengalaman hamil anak kedua, Puteri Sarah memberitahu dia lebih banyak duduk dirumah kerana sering cepat letih tambahan pula perlu beri perhatian pada anak sulung.
"Pada peringkat awal kehamilan saya kerap juga ikut suami ke acara dan melakukan aktiviti lain terutama berkaitan perniagaan. Namun, selepas kandungan kian membesar saya jadi cepat letih.
"Kalau boleh nak baring saja dan tidak ke mana-mana. Anak sulung pula semakin lasak. Jadi, saya kena berikan perhatian. Walaupun ada pembantu rumah, urusan mengenai anak saya buat sendiri," ujarnya.
Dalam masa sama, Sarah yang berkahwin dengan Syamsul pada tahun 2014 itu berkongsi dia dan suami kini duduk di rumah sendiri selepas lima tahun tinggal bersama mentua.
"Apabila duduk berasingan suasana memang berbeza. Segalanya kena buat sendiri. Orang kata kena lebih berdikari. Kalau ikutkan mentua tidak mahu kami pindah, tapi sayang pula rumah yang sudah ada terbiar kosong lama.
"Lagi pula anak sudah mahu masuk dua. Tidak manis pula jika terus duduk bersama. Apa pun, kami kerap juga balik rumah mereka," tuturnya.
Untuk makluman, hasil perkahwinan bersama, pasangan itu dikurniakan anak lelaki, Syaikul Islam Mohd Shamsul yang kini berusia dua tahun.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Siti Sarah
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment